MANTAN Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin tidak pernah menyimpan dendam terhadap mereka yang menolaknya, sebaliknya beliau memaafkan mereka tanpa kata-kata.
Keluarga Allahyarham dalam satu kenyataan berkata, beliau sanggup memikul beban konflik dengan perasaan tenang dan kasih sayang yang selama ini mencorakkan wataknya.
Pada masa yang sama Allahyarham juga menyerahkan segala-galanya kepada sejarah untuk menghakiminya.
“Kami sekeluarga memanjatkan syukur kerana diberikan peluang bersamanya. Walaupun kehilangannya tiada ganti, legasi yang ditinggalkannya memberikan kami ketenangan,” kata kenyataan itu hari ini.
Daim meninggal dunia pada pukul 8.21 pagi ini di Hospital Assunta, Petaling Jaya 13 November lalu pada usia 86 tahun.
Berikut kenyataan penuh keluarga Allahyarham:
- Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ahli keluarga, sahabat handai dan kenalan dari seluruh dunia, serta rakyat Malaysia dari segenap lapisan masyarakat yang meluangkan masa memberikan penghormatan terakhir dan seterusnya bersama-sama solat jenazah di masjid, juga kepada semua yang menukilkan ucapan takziah yang menyentuh hati kepada Allahyarham Daim Zainuddin, suami, ayah, datuk dan moyang tercinta.
- Kami tidak mengenali ramai yang datang mengunjung. Kisah dan pengalaman yang diceritakan mereka mengenai Allahyarham dan bagaimana beliau memberi kesan kepada kehidupan mereka, sesungguhnya amat mengharukan dan kami hargai pengkongsian mereka.
- Kami merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada para doktor, jururawat, kakitangan dan pihak pengurusan Hospital Assunta, di atas penjagaan dan keprihatinan yang ditunjukkan selama beberapa tahun sehinggalah detik terakhir Allahyarham.
- Setinggi-tinggi penghargaan juga diucapkan kepada warga JAWI, Masjid Wilayah, PDRM dan Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara atas segala bantuan yang diberikan.
- Allahyarham pulang ke pangkuan penciptaNya dengan penuh ketenangan dan kesyukuran. Sesungguhnya, perjalanan hidup anak watan Kedah dari kampung halamannya di Alor Setar sehinggalah ke pesada dunia, diwarnai dengan jasa yang dicurahkannya atas semangat untuk berbakti kepada agama, bangsa, dan negara yang dicintainya. Allahyarham mengabdikan hidupnya ke arah matlamat memajukan, membangunkan dan memperkasakan ekonomi Malaysia. Baginya, kehebatan yang hakiki bukan terletak pada kuasa, tetapi pada usaha gigih yang tidak mengharapkan balasan.
- Namun apa yang paling utama, prinsip yang paling dipentingkan oleh Allahyarham dalam hidupnya, adalah imannya yang mendalam kepada Allah. Sebutan yang tak tinggal darinya ialah syukur kepada Allah.
Di sebalik semua kejayaannya di dunia, beliau yakin ganjaran yang diterima adalah disebabkan keimanannya kepada Allah. Dan apabila berdepan kesukaran, beliau bertawakal kepada-Nya. “Lakukan apa yang mampu dan selebihnya serahlah kepada Allah”. Seperti kita, beliau beriman kepada Allah yang Maha Mengetahui. - Pencapaian Allahyarham amat membanggakan kami, namun lebih daripada semua itu, Allahyarham adalah seorang suami, ayah, datuk dan moyang kami. Allahyarham adalah guru kami, pelindung kami, sumber kekuatan kami dan pembimbing akhlak kami. Di sebalik kehebatan akal dan ketinggian wawasan, beliau berjiwa lembut dan menjadi teladan kepada kami melalui pertuturannya dan tingkah lakunya, sifat rendah dirinya dan integritinya, sifat murah hati dan rahmah, serta kekuatannya dalam kesabaran. Jasanya kepada orang jarang-jarang disebutnya, kerana beliau yakin nilai sebenar kehidupan ini bukan terletak kepada apa yang dimiliki, tetapi kepada apa yang disumbangkan.
- Biarpun Allahyarham tidak lagi berada di samping kita, harapan kami ialah usaha beliau walau sekecil mana pun telah membantu mencapai masa depan yang lebih cerah untuk semua rakyat Malaysia. Beliau sentiasa berpesan bahawa kekuatan negara ini terletak kepada kepelbagaian, perpaduan, usaha gigih dankeyakinan yang utuh bahawa kita boleh bersama-sama mencapai kegemilangan. Sehingga ke akhir hayatnya, beliau kekal yakin kepada potensi negara ini, untuk menjadikan Malaysia lebih adil, makmur, inklusif dan bersatu.
- Kepada anak muda Malaysia, Allahyarham meletakkan kepercayaan kepada anda kerana baginya, anda adalah masa depan dan harapan negara. Malaysia adalah milik anda sekarang. Beliau menyedari akan cabaran yang mendatang, namun tetap percaya anda boleh mengatasinya, pada masa sama tidak membiarkan perasaan curiga dan dendam berakar umbi. Beliau berpesan walaupun jalan menuju Malaysia yang lebih baik sememangnya penuh ranjau, tetapi percayalah, ia berbaloi untuk diharungi.
- Kepada mereka yang pernah bekerja dengan Allahyarham dan sentiasa mendampinginya, yang berkawan, menyokong dan mempercayai visinya, kami terhutang budi kerana kerana andalah yang memperkayakan perjalanan hidupnya. Beliau amat menghargai ikatan persahabatan yang dijalinkan sama ada di dalam atau luar negara. Sering kali beliau bercakap mengenai anda dengan penuh rasa syukur, kerana sedar yang kejayaan tidak mungkin dicapai berseorangan.
- Kepada mereka yang menolak usahanya, Allahyarham tidak menyimpan dendam; beliau memaafkan tanpa kata-kata, dan sanggup memikul beban konflik dengan perasaan tenang dan kasih sayang yang selama ini mencorakkan wataknya, sambil menyerahkan segala-galanya kepada sejarah untuk menghakiminya.
- Kami sekeluarga memanjatkan syukur kerana diberikan peluang bersamanya. Walaupun kehilangannya tiada ganti, legasi yang ditinggalkannya memberikan kami ketenangan. Dalam meratapi kehilangannya, kami meraikan kehidupannya dan bagaimana beliau menyentuh kehidupan orang di sekelilingnya. Semoga legasi beliau memberi inspirasi kepada kita semua untuk menjadi insan yang lebih baik.
- Kami dengan penuh tawadduk memanjatkan doa agar Allahyarham dikenang dan dihormati dalam cara yang sama beliau menjalani kehidupannya — secara tenang dan bermaruah.
- Semoga Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham, menerima amal solehnya, dan menempatkannya di kalangan kekasihNya di syurgaNya yang paling tinggi. Amin.