Sunday, June 14, 2026

Pentingnya integrasi dasar inklusif urus bencana ASEAN – Zahid

Mesti Baca

MALAYSIA menekankan pentingnya pengintegrasian dasar inklusif dalam rangka kerja pengurusan bencana ASEAN untuk membina komuniti yang lebih berdaya tahan.

Penekanan itu disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semasa Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN Mengenai Pengurusan Bencana (AMMDM) Ke-12 di Brunei Darussalam hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara berkata, Malaysia berperanan aktifmenyokong Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan ASEAN (AHA Centre).

Selain itu, katanya, kita juga sedia terlibat dalam latihan dan simulasi seperti Latihan Simulasi Kecemasan Bencana Serantau ASEAN (ARDEX) dan Pelan Tindak Balas Bencana Bersama ASEAN (AJDRP). 

“Saya juga menegaskan bahawa cabaran perubahan iklim memerlukan satu kerjasama serantau yang erat. 

“Dalam hal ini, Malaysia akan terus menyelaraskan strategi dari Persidangan Menteri Asia Pasifik Mengenai Pengurangan Risiko Bencana (APMCDRR) yang telah berlangsung di Manila baru-baru ini. 

“Ini akan membantu memperkukuh daya tahan kolektif ASEAN dalam menghadapi cabaran baharu,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, Zahid turut berkongsi pendirian bahawa Malaysia komited dalam memperkukuh daya tahan bencana melalui inisiatif bersifat tempatan dan serantau. 

Katanya, ini termasuk Dasar Pengurangan Risiko Bencana 2030 serta program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM) yang melibatkan kumpulan rentan seperti wanita, warga emas, dan orang kurang upaya. 

Dasar dan program ini, kata Zahid, jelas menunjukkan komitmen dan tindakan Malaysia terhadap pengurusan risiko bencana dengan tumpuan terhadap mitigasi risiko.

Timbalan Perdana Menteri turut menyatakan usaha Malaysia mengadaptasi penggunaan teknologi dalam pengurusan bencana. 

Katanya, ini melalui Program Ramalan dan Amaran Banjir Nasional (PRABN), yang mampu meramalkan banjir sehingga tujuh hari lebih awal dan mengeluarkan amaran kepada orang awam dalam tempoh 48 jam, merupakan salah satu inovasi penting dalam mempertingkatkan kecekapan tindak balas bencana. 

“Usaha ini turut diperkukuh dengan pelaburan besar dalaminfrastruktur kritikal bagi memastikan perkhidmatan penting terus beroperasi ketika bencana,” katanya.

Di kesempatan itu,  Malaysia telah menawarkan khidmat daripada Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke negara-negara ASEAN yang mengalami kesan bencana yang teruk. 

Katanya, SMART merupakan satu-satunya pasukan elit penyelamat dari ASEAN dan pasukan kedua di Asia selepas Jepun. 

Pasukan itu juga telah diiktiraf oleh International Search and Rescue Advisory Group (INSARAG) di bawah United Nations Office for the Coordination of Humanitarian Affairs.

“Malaysia akan terus teguh bersama dalam pengurusan risiko bencana dan AMMDM ke-12 ini membuktikan lagi komitmen kebersamaan Malaysia untuk meningkatkan daya tahan bencana di seluruh rantau ini. 

“Menerusi kerjasama dan perkongsian kepakaran, kita akan berupaya membina dan meningkatkan keupayaan rantau ASEAN bagi mendepani cabaran yang mendatang,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan