DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) sukar bergerak solo dalam pilihan raya umum akan datang.
Ini kerana, menurut Presiden UMNO itu, data dan sentimen serta pertambahan pengundi baharu, menyukarkan parti itu untuk bergerak bersendirian.
Beliau berkata, ahli UMNO sahaja tidak mampu memenangkan parti itu sebaliknya yang menjadi penentu adalah pengundi di luar sana yang jauh lebih besar peratusan dan jumlahnya.
Bagaimanapun, tegas beliau, UMNO perlu membuat percaturan yang semasak-masaknya sebelum mempertimbangkan bentuk persefahaman sama ada sebelum atau selepas pilihan raya.
“Sebagai parti yang membentuk sebuah negara bangsa, apa pun pencak politik atau langkah yang hendak diambil, kepentingan negara dan rakyat adalah pra syarat yang tidak akan kita korbankan,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar dalam Perhimpunan Agung UMNO 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WKL) Kuala Lumpur hari ini.
Untuk itu, Zahid menggariskan tiga rukun politik iaitu menetapkan sasaran penguasaan kerusi Parlimen bagi memastikan UMNO menjadi parti yang membentuk kerajaan.
UMNO juga membuka pilihan untuk bekerjasama dengan jajaran politik yang menerima keindukan Islam dan Melayu sebagai teras selain memastikan politik sederhana dengan mengambil jalan tengah sebagai model kesepakatan yang berupaya memelihara kestabilan negara.
“Saya gariskan tiga rukun ini kerana perubahan pola politik dan sikap pengundi, seolah-olah telah memetakan komposisi kerusi dalam Parlimen.
“Berdasarkan senario semasa, 222 kawasan Parlimen kini diwakili oleh hampir seimbang antara parti-parti utama,” katanya.
Zahid berkata, jika dilihat kedudukan sekarang kesemua parti memiliki antara 30 hingga 40 kerusi di Parlimen.
Katanya, keadaan tersebut turut menjadikan amalan demokrasi di Malaysia perlu kepada satu kematangan memandangkan tiada satu parti atau gabungan menguasai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.
Malahan, jelas beliau, terdapat beberapa kajian dan dapatan menjangkakan keadaan yang sama akan berlaku pasca-PRU-16 yang akan datang.
“Sebagai parti, keadaan ini tentunya menjadi laluan yang sukar. Namun ia membuka ruang kepada semua parti untuk mencari titik persamaan atas kemaslahatan negara.
“Kerjasama antara parti untuk menubuhkan kerajaan, dilihat sebagai natijah paling besar dengan perubahan landskap politik masa kini,” katanya.
Justeri, Zahid berkata, UMNO mesti keluar dari echo chamber dan zon selesa dan perlu berani berdepan idea-idea baharu dan perspektif beragam agar parti itu tetap relevan dalam lanskap politik yang semakin kompleks.
“Jangan kita ingat, kita dominan seperti dahulu lagi. Jangan terbuai dengan fitnah dan tohmah pihak lawan sehingga kita menanam kesangsian sesama sendiri.
“Jangan leka dengan sedikit kuasa yang ada sehingga kita lupa akan tugas memperkuatkan parti,” katanya. – Edisi 9