PENERANGAN UMNO Malaysia akan melaksanakan tiga inisiatif baharu termasuk penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam menghadapi ‘politik digital’ pada masa depan.
Ketuanya, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, langkah itu diambil sebagai langkah UMNO memulakan naratif baharu sepertimana digariskan oleh Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, inisiatif yang diambil itu atas kesedaran bahawa politik kini dalam fasa ‘politik handphone‘ serta memastikan UMNO terus berdaya saing dalam peperangan persepsi yang semakin sengit.
“Dengan pelaksanaan inisiatif-inisiatif ini, Penerangan UMNO Malaysia yakin dapat mengukuhkan lagi kedudukan dan mengangkat imej parti terutamanya dalam landskap politik digital, seterusnya memenangi hati rakyat terutamanya generasi muda yang menjadi penentu masa depan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, inisiatif yang akan dilaksanakan oleh Penerangan UMNO itu ialah melaksanakan Masterclass Komunikasi Digital yang akan menawarkan modul latihan komunikasi digital.
Katanya, ini bagi melatih lebih ramai jentera penerangan parti di peringkat akar umbi supaya berupaya memahami propaganda dan menghasilkan kandungan digital positif yang berkualiti dan berwibawa.
Langkah itu bagi menarik perhatian rakyat serta menyebarluaskan mesej-mesej parti dengan lebih efektif.
Bagi menghadapi cabaran teknologi AI dalam politik, Azalina berkata, Penerangan UMN menggunakan teknologi itu bagi mengenal pasti trend dan sentimen pengundi dengan lebih tepat dan bersasar.
“Ini akan membantu dalam menyusun strategi komunikasi yang lebih berkesan dan responsif terhadap perubahan persepsi rakyat,” katanya.
Beliau berkata, Penerangan UMNO juga akan melancarkan kempen digital secara bersepadu dan strategik dengan memanfaatkan pelbagai platform media sosial terkini dan mempelbagaikan bentuk kandungan yang sentiasa releven dengan trend semasa.
Ini termasuk siri podsiar #HitamPutihKelabu (HPK) dan ‘chatbot‘ yang dijana oleh AI boleh menjelaskan isu-isu semasa pada bila-bila masa sahaja.
Zahid semasa menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2024 hari ini menggariskan lima agenda besar bagi membawa hala tuju parti ke masa depan dengan salah satunya ialah ‘Politik Digital’. – Edisi 9