UCAPAN-UCAPAN politik yang kasar dan keras Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang termasuk menuduh lawan politik sebagai ‘lebih dajal daripada dajal’ boleh mencetuskan pertembungan politik tajam UMNO dan Pas sepertimana yang berlaku pada awal 1980-an lalu.
Majlis Ulama UMNO (MUU) berkata, Hadi telah mencetuskan amanat-amanat dan ucapan politik yang merosakkan persaudaraan Islam selama puluhan tahun sehinggalah diredakan menerusi Muafakat Nasional pada 2019.
“Politik sebegini sepatutnya dibenamkan jauh ke dasar lautan dan tidak dijadikan ikutan generasi baru masyarakat Malaysia,” kata MUU dalam satu kenyataan hari ini.
Majlis itu berkata, umum umat Islam mengenali susuk dajal menerusi hadis-hadis Rasulullah (SAW) sebagai lambang kekufuran dan kefasikan yang mengelirukan umat manusia.
Selain itu, dajal juga menguji serta merosakkan keimanan umat Islam dengan pembohongan dan kejahatan sebelum akhirnya dibunuh oleh Nabi Isa AS di akhir zaman sebelum kiamat.
“Ia sangat tidak wajar dipalitkan sesama muslim yang bersaing secara sihat di arena demokrasi Malaysia,” katanya.
Sehubungan itu, MUU mengajak semua pihak khususnya para ulama menghiasi dan memakmurkan politik demokrasi dengan akhlak Islam dengan menjunjung peringatan Allah.
Menerusi hantaran dalam Facebook, Abdul Hadi mendakwa UMNO yang rosak bersama Pakatan Harapan (PH) meneruskan prinsip dan konsep kebendaan menjadi agenda yang utama bagi menegakkan dan mempertahankan kerajaannya.
Ahli Parlimen Marang itu mendakwa, ia digunakan sebagai senjata dengan cara yang lebih daripada dajal.
Menurutnya, mereka membeli rakyat dengan wang dan kebendaan supaya menyokong dan pada masa sama menindas pembangkang dengan menafikan peruntukan kewangan yang diwajibkan mengikut agama dan amalan demokrasi.
“Sedangkan mereka telah mengambil cukai daripada semua rakyat, termasuk pembangkang. Maka, terbukti mereka lebih daripada dajal yang tidak memungut cukai,” katanya.
Abdul Hadi turut mendakwa, politik dajal turut digunakan semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
“Betapa politik dajal menjadi senjata lama yang merosakkan UMNO terus digunakan lagi dengan tenaga perasuah dan penerima rasuah.
“Kini, mereka berkeliaran dalam PH yang menjadi kerajaan berkuasa dan dijadikan tempat pergantungan makhluk perosak sepanjang zaman,” katanya. – Edisi 9