KESEMUA 19 mangsa termasuk enam kanak-kanak dan dua bayi yang terperangkap dalam kejadian kepala air di RISDA Eco Park, Slim River, Perak kini berada dalam keadaan selamat.
RISDA dalam satu kenyataan berkata, mereka kini ditempatkan di penginapan yang terletak di lokasi selamat dan jauh daripada kawasan yang terjejas.
Katanya, keperluan asas seperti makanan, minuman dan alat komunikasi telah pun dihantar ke lokasi dengan bantuan pihak berkuasa semenjak
malam tadi.
“Petugas bagi menyelaras keadaan turut ditempatkan bagi memastikan mangsa dalam keadaan stabil,” kata kenyataan itu hari ini.
Insiden kepala air di Kampung Ulu Slim, Slim River semalam menyebabkan kesemua mangsa terperangkap semasa menginap dan berkhemah di tapak rekreasi itu.
Kejadian tersebut dipercayai berpunca daripada empangan berhampiran Stesen Janakuasa Hidro Sungai Slim pecah pada petang Jumaat yang turut menjejaskan beberapa kampung di sekitar kawasan Kampung Sungai Bil, Slim River.
RISDA berkata, pihaknya dengan bantuan pelbagai pihak termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam dan Polis Diraja Malaysia giat mengambil tindakan segera menyelamatkan mangsa
yang terkandas.
Katanya, pihak dan agensi lain kini sedang memantau situasi semasa
keadaan sungai dan menunggu keadaan air pulih untuk masuk ke
tapak tersebut bagi mengeluarkan mangsa yang terjejas. – Edisi 9