APA yang disebut oleh Datuk Seri Zahid Hamidi berhubung malaikat mengetuai UMNO semasa parti itu lemah, adalah dalam bentuk andaian.
Justeru, Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dusuki Ahmad berkata, sesuatu andaian itu tidak mungkin akan berlaku dan terjadi.
Bagaimanapun, oleh kerana yang mengucapkannya adalah pemimpin UMNO dan Timbalan Perdana Menteri maka musuh-musuh beliau akan melihatnya dari kacamata negatif.
Ini termasuk mendakwa kata-kata Zahid itu bercanggah dengan akidah dab tidak selari dengan tuntutan akhlak.
“Anehnya, menjelang PRU15 dulu mereka berkata bahawa malaikat turun mengundi dan memberi undi kepada Pas mengambil tempat penyokong Pas di perantauan yang tidak balik,” katanya menerusi media sosialnya hari ini.
Dusuki berkata, begitu juga ketika Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa bermimpi Nabi Muhammad SAW turun di Rusila dengan berwajah hitam, tiada siapa mengecam atau menegurnya.
“Begitu juga ketua kelab sokong Pas bernama Bala, keturunan India, beragama hindu, juga bermimpi beberapa kali jumpa Nabi.
“Dia juga baca beberapa ayat al-Quran lintang-pukang di hadapan pemimpin-pemimpin Pas, juga tidak ada sesiapa kalangan Pas yang menegur sikap seumpama itu.
“Sebaliknya menyambut dengan takbir Allahuakbar,” katanya.
Justeru, beliau memuji Zahid yang berlapang dada dan berjiwa besar memohon maaf atas kekhilafab bagi mengelak ia menjadi isu politik.
Semalam, Zahid Hamidi melahirkan rasa kesal atas keterlanjurannya membuat perbandingan dengan malaikat dalam konteks tekanan yang dihadapinya ketika memegang amanah sebagai Presiden UMNO.
Beliau yang mengakui kekhilafan tersebut dengan rendah diri memohon ampun kepada Allah dan meminta maaf kepada semua atas keterlanjuran kata-kata tersebut.
Menurut Zahid, ungkapan tersebut diucap dalam suasana penuh emosi bagi menggambarkan tekanan yang dihadapi beliau sebagai pemimpin UMNO.
Sebelum ini, tular rakaman video Zahid yang didakwa menyebut: “Jika Allah SWT menjadikan malaikat sebagai presiden UMNO, malaikat pun akan lari malam” yang dipercayai dipetik dari salah satu ucapannya semasa merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian.
Bagaimanapun, video tular tersebut tidak menyiarkan sepenuhnya ucapan tersebut sebaliknya ia telah disunting dan kemudian disebarkan menerusi media sosial. – Edisi 9

