Tuesday, July 21, 2026

ASEAN perlu perteguh kesepaduan hadapi tekanan global

ASEAN tidak lahir dari suasana yang mudah, tetapi terbentuk dari kerumitan dan semangat dialog, dan semangat itu mesti terus dipelihara. - Anwar Ibrahim

Mesti Baca

MALAYSIA sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini menegaskan bahawa rantau Asia Tenggara tidak boleh membiarkan keputusannya dipengaruhi kuasa luar, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, sebaliknya, ASEAN perlu kekal sebagai entiti berdaulat yang mampu menentukan hala tuju sendiri secara kolektif dan berprinsip.

Katanya, ASEAN mesti memperteguh kesepaduan dan memetakan haluan strategik menjelang tahun 2045, dengan menjadikan kekuatan dalaman sebagai tonggak utama dalam menghadapi tekanan dan ketidaktentuan geopolitik global.

“ASEAN tidak lahir dari suasana yang mudah, tetapi terbentuk dari kerumitan dan semangat dialog, dan semangat itu mesti terus dipelihara. 

“Di tengah pergolakan geopolitik global, dari Gaza, Ukraine, Myanmar hingga Timur Tengah, kita tidak boleh tunduk pada retorik kuasa atau prinsip yang hanya ditegakkan bila ia cocok dengan keadaan semasa,” katanya.

Para menteri luar ASEAN bergambar bersama Anwar Ibrahim di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN (AMM) Ke-58 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn. 

Anwar turut menegaskan bahawa ASEAN harus kekal sebagai wahana yang memperjuangkan keadilan sejagat, menghormati undang-undang antarabangsa serta menyuarakan nasib golongan yang tertindas di peringkat global.

Dalam konteks ekonomi serantau, beliau menekankan bahawa integrasi ASEAN bukan lagi pilihan, tetapi keperluan strategik demi ketahanan jangka panjang.

“Kita mesti berdagang lebih antara satu sama lain, tingkatkan pelaburan rentas sempadan dan menyegerakan integrasi ekonomi serantau.

“ASEAN tidak boleh biarkan keputusannya ditentukan oleh kuasa luar. Kita adalah rantau yang berani menentukan nasib sendiri, dengan satu suara, keberanian dan tekad yang jitu,” tegasnya.

Anwar menambah, iltizam Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini jelas untuk memacu rantau ini ke hadapan sebagai satu blok yang bersatu, berdaya tahan dan dihormati dalam arena antarabangsa.

“Inilah iltizam Malaysia. Inilah suara ASEAN,” katanya.

Malaysia secara rasminya mengambil alih kepengerusian ASEAN bermula Januari 2025, dengan tema “ASEAN 2025: Memperteguh Kesepaduan, Memetakan Masa Depan.” 

Kepimpinan Malaysia dalam ASEAN kali ini dilihat penting dalam mengembalikan fokus rantau ini terhadap agenda pembaharuan, pembangunan mampan dan integrasi ekonomi yang lebih menyeluruh. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan