Saturday, June 13, 2026

Rakyat dijangka tanggung kos lebih besar berbanding penjimatan

Mesti Baca

RAKYAT dijangka akan menanggung kos yang jauh lebih besar akibat kenaikan harga diesel secara mendadak mulai hari ini berbanding RM4 bilion penjimatan daripada penyasaran subsidi.

Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana kenaikan tersebut akan mengakibatkan kejutan ekonomi yang bakal merebak ke seluruh pelusuk negara.

Beliau berkata, pada masa yang sama, langkah kerajaan itu akan menyebabkan kesan gandaan (multiplier effect) kepada sektor ekonomi dan sosial yang lain.

“Sedih saya mengenangkan bebanan yang ditanggung rakyat dek pengumuman kerajaan mengenai penetapan harga diesel pada kadar RM3.35 seliter bermula hari ini.

“Saya mendidik diri agar sentiasa prihatin dengan keluhan rakyat dan itu yang saya terjemahkan ketika memegang tanggungjawab dan harapan rakyat sebagai Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, kenaikan harga diesel sebanyak RM1.20 atau 56 peratus berbanding sebelumnya adalah amat tinggi dan tidak mengendahkan nasib rakyat yang cukup terbeban dengan inflasi dan kos sara hidup yang sudah melambung.

Beliau berkata, oleh kerana sistem ekonomi negara tidak efisien dan gagal diurus dengan baik oleh pucuk pimpinan kerajaan, maka rakyat akan menghadapi kesulitan hidup yang lebih teruk.

Pada masa sama Muhyiddin juga tidak yakin Sistem Kawalan Subsidi Diesel (SKDS) yang hanya terhad kepada jenis-jenis kenderaan komersil tertentu dapat mengatasi masalah kenaikan kos dalam rantaian bekalan.

“Syarat-syarat yang dikenakan ke atas penerima bantuan subsisidi diesel menerusi skim Budi Madani juga ketat yang boleh menyebabkan sebahagian besar pengguna tidak layak mendapat bantuan.

“Ini termasuk petani dan pekebun kecil yang menggunakan jentera diesel bagi mengeluarkan produk pertanian,” katanya.

Muhyiddin berkata, bagi yang layak menerima bantuan pula, jumlah RM200 sebulan pastinya tidak memadai untuk menampung kenaikan harga diesel yang terlalu tinggi.

“Akhirnya kenaikan kos dalam rantaian bekalan akan tetap berlaku dan ditanggung sepenuhnya oleh pengguna.

“Penyasaran subsidi diesel tanpa langkah komprehensif untuk menampan kesan kenaikan kos sara hidup rakyat adalah satu keputusan buruk yang dibuat oleh kerajaan. Kesannya akan dirasai serta-merta.

“Ini hanya permulaan. Saya ingin mengingatkan bahawa rakyat akan lebih terbeban apabila kerajaan menarik balik subsidi RON 95 tidak lama lagi,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan