Thursday, June 4, 2026

Pasukan khas ditubuh selaras pembangunan Taman Industri Halal

Mesti Baca

KERAJAAN menubuhkan satu pasukan khas yang diketuai oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagi menyelaras pembangunan Taman Industri Halal (Halmas) di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pasukan tersebut diberi tempoh dua minggu bagi membincangkan segala usaha menambah baik inisiatif Halmas.

Beliau berkata, langkah tersebut agar aktiviti-aktiviti perindustrian halal dapat dipelbagaikan serta menarik minat pelabur industri halal dari seluruh dunia.

“Bagi memaksimakan potensi Halmas, kerajaan bersetuju menubuhkan taskforce bagi menyelaras usaha pembangunan Halmas serta mengenal pasti kekangan yang dihadapi kerajaan negeri dalam membangunkan kawasan tersebut di negeri masing-masing.

“Kini terdapat sebanyak 14 buah Halmas yang telah diwartakan di seluruh negara dengan keluasan sebanyak 5,485 hektar,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan Halal di Kompleks Tabung Haji Sepang hari ini.

Sebahagian anggota Majlis Pembangunan Halal yang hadir dalam mesyuarat pertamanya tahun ini.

Hadir sama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abd Aziz.

Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, beliau turut meneliti laporan penganjuran Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) tahun lalu yang berjaya merekodkan jumlah jualan sebanyak RM3.20 bilion melalui 1,040 pempamer serta menerima jumlah 38,566 pelawat.

Oleh itu, kiata beliau, bagi meneruskan daya usaha mempertingkatkan eksport produk halal negara, MIHAS kali ke-20 akan diadakan pada 17 hingga 20 September 2024 bertempat di Malaysia International Trade Centre Kuala Lumpur (MITEC).

“Saya yakin bahawa Industri halal di Malaysia mempunyai masa depan yang cerah sebagai Hab Halal Global.

“Oleh itu, semua inisiatif yang telah dirancang perlulah dilaksanakan secara bersepadu melibatkan semua agensi utama yang terlibat dalam agenda pembangunan industri halal negara.

“Ini bagi membolehkan Malaysia mendominasi pengeluaran produk dan perkhidmatan halal utama di peringkat antarabangsa,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan