PENARIKAN subsidi diesel sepatutnya dilakukan secara berskala dan bukannya secara total serta mengejut, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu berkata, kesan penarikan subsidi diesel sedemikian mengakibatkan harga diesel naik dengan begitu mendadak dari RM 2.15 kepada RM 3.35 iaitu kenaikan sebanyak RM1.20 seliter.
Beliau berkata, kenaikan yang besar dan tajam itu sudah pasti mendatangkan kesan kepada ekonomi semasa dan orang ramai.
“Dengan kaedah pembayaran subsidi bersasar ke golongan yang memerlukan masih lagi di peringkat awal dan sudah pasti akan ada masalah-masalah yang tidak boleh dielakkan seperti kelulusan permohonan yang dipohon dan keciciran golongan yang memerlukan, impak ekonomi kepada pengguna tetap akan berlaku dan tidak dapat dielakkan.
“Oleh itu, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mengesyorkan agar subsidi diesel ini perlu dilaksanakan secara berkala,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas langkah kerajaan yang menyelaraskan harga diesel bagi semua negeri di seluruh Semenanjung susulan pelaksanaan mekanisme bantuan bersasar yang disediakan.
Dengan penyelarasan tersebut, bermakna bermula pada tengah malam hari ini, harga diesel di semua stesen runcit petrol di Semenanjung Malaysia ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter iaitu harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Automatic Pricing Mechanism (APM).
Dr Akmal berkata, adalah lebih elok jika penarikan subsidi tersebut dibuat secara kecil terlebih dahulu misalnya, RM 0.20, atau pada kadar minimum 10 peratus sehinggalah cabaran-cabaran awal dapat diatasi dan situasi ekonomi semasa kembali stabil barulah mula dengan jumlah yang lebih besar secara berkala.
“Secara umum, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menyokong polisi pengstrukturan subsidi.
“Polisi ini turut dicadangkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu walaupun dibantah teruk pada ketika itu,” katanya.
Beliau berkata, Pemuda UMNO Malaysia faham akan keperluan yang lebih besar dalam usaha untuk membina negara namun dalam masa yang sama biarlah penarikan subsidi ini dilakukan secara berkala agar tidak menyebabkan kejutan ekonomi semasa yang mendadak.
“Kita tidak mahu apabila polisi ini dijalankan,lebih banyak keburukan dari kebaikan yang rakyat perlu tanggung,” katanya. – Edisi 9

