32.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Pelajar Kolej Komuniti Selayang ‘rewang’, masak bubur lambuk

Mesti Baca

KIRA-KIRA 450 pelajar dan 70 warga kerja Kolej Komuniti Selayang (KKSY) ‘merewang’ dan menyediakan juadah berbuka puasa sempena program Semarak Ramadan, hari ini.

KKSY dalam satu kenyataan berkata, program tersebut bertujuan memberi pendedahan secara langsung kepada pelajar kolej dalam menguruskan program-program seperti tanggungjawab sosial korporat.

Katanya, para pelajar dan kakitangan terbabit menyediakan 400 pek bubur lambuk dan 500 pek asam pedas ayam bersama ulam-ulaman untuk berbuka kepada semua pelajar, kakitangan dan agensi sekitar institusi.

“Selain daripada memberi pendedahan kepada pelajar dalam menyediakan pelbagai juadah, program ‘merewang’ ini juga dapat mengeratkan silaturahim antara pelajar dan kakitangan disamping memberi nilai tambah buat pelajar dalam melahirkan pelajar yang holistik, seimbang dan berdaya saing,” kata kenyataan itu hari ini.

KKSY berkata, program ‘rewang’ itu melibatkan kesemua program hospitaliti dan kreatif di kolej tersebut bagi memberi peluang kepada semua pelajar merasai sendiri pengalaman ‘merewang’ dan menyediakan juadah dalam kuantiti yang besar dalam masa singkat.

Bagi program kreatif pula, katanya, sesi membungkus makanan memberi peluang kepada pelajar dan pensyarah menyediakan pelekat untuk ditampal di bekas makanan.

Advertisements

“Tugas ini merupakan salah satu cara buat pelajar menggunakan bakat, kemahiran dan kreativiti mereka,” katanya.

Program yang dijalankan itu juga, kata KKSY, adalah inisiatif kepada pelajar generasi kini menghayati aktiviti rewang sewaktu berpuasa di samping menekankan perkembangan mental, emosi dan sosial dalam kalangan pelajar.

“Program Semarak Ramadan ini adalah suatu tradisi buat KKSY selama lebih 10 tahun demi mewujudkan ukhuwah dan mengeratkan silaturahim dalam kalangan pelajar dan kakitangan dalam menjaga keharmonian institusi,” katanya.

Turut diadakan majlis khatam Al-Quran, acara berbuka puasa bersama dan solat tarawih berjemaah bersama pelajar, kakitangan dan agensi sekitar institusi.

Hadir sama, Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen; Ahli Majlis Perbandaran Selayang, Mohd Montazeri Nordin dan Ahmad Zahiri Zahid Sofian serta wakil daripada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim). – Edisi 9

Advertisements

Terkini

PRK Kuala Kubu Baharu saksikan pertembungan empat penjuru

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Khairul Azhari Saut...

Lagi Artikel Berkaitan