Thursday, July 23, 2026

Kolej Komuniti Selayang edar 1,500 bekas bubur lambuk

Mesti Baca

PARA pelajar dan kakitangan Kolej Komuniti Selayang (KKSY) bergotong-royong menyediakan 1,500 bekas bubur lambuk untuk diedarkan kepada 25 agensi dan komuniti sekitar Selayang sempena Majlis Semarak Ramadan 2025.

Aktiviti memasak bubur lambuk itu melibatkan 400 pelajar dan 60 kakitangan KKSY yang bersama-sama menyediakannya sejak awal pagi.

Ini bagi memastikan juadah tradisi itu dapat dikongsi dengan masyarakat setempat di samping mengetengahkan bakat dan kemahiran warga KKSY yang dikenali dalam bidang hospitaliti. 

Menurut kenyataan KKSY, inisiatif tersebut bukan sekadar amalan bersedekah tetapi juga mendidik pelajar tentang kepentingan nilai gotong-royong, kesyukuran dan kasih sayang dalam komuniti.

Katanya, selain agihan bubur lambuk, program ini turut dimeriahkan dengan penyediaan juadah berbuka puasa, Khatam al-Quran, ceramah nuzul Quran, serta penyerahan watikah Rakan Belia YADIM sebagai tanda amanah kepada generasi muda dalam menyebarkan nilai murni. 

Turut diadakan, sumbangan kotak bantuan kepada pelajar, kakitangan dan komuniti oleh Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen, membuktikan keindahan Ramadan sebagai bulan memberi dan berkongsi rezeki.

“Bantuan ini bukan sekadar pemberian barangan keperluan, tetapi lebih daripada itu dan ia adalah simbol kasih sayang, sokongan, dan keprihatinan kita terhadap kesejahteraan para pelajar dan penerima yang lain,” kata William ketika berucap pada majlis itu, semalam.

Tambah beliau lagi, sumbangan ini diharap dapat membantu meringankan beban dan memberi motivasi untuk penerima khususnya para pelajar untuk terus berusaha dalam pelajaran masing-masing.

Program diteruskan dengan sesi berbuka puasa beramai-ramai dan diakhiri dengan solat tarawih berjemaah, sekali gus mencipta kenangan bermakna antara pelajar, kakitangan dan tetamu yang hadir. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan