SEMPENA hari-hari terakhir Ramadan, lebih 40 orang pelajar bersama pensyarah dan staf Kolej Komuniti Selayang (KKSY) telah menyertai Program World Quran Hour 2025 yang diadakan di Perpustakaan kolej itu hari ini.
Program kali ketujuh diadakan, ia anjuran Perpustakaan KKSY dengan kerjasama Perpustakaan Daerah Gombak (PPAS) bagi menyemarakkan semangat cintakan al-Quran dalam kalangan warga kolej.
Menurut kenyataan KKSY, program yang berlangsung pada pukul 12 tengah hari hingga 1 petang ini memberi peluang kepada peserta untuk bersama-sama membaca, memahami, dan menghayati al-Quran.
Dengan memilih Surah Al-Saff sebagai surah utama, program tersebut bukan sekadar bacaan al-Quran tetapi turut menjadi platform bagi warga KKSY memperkukuh ukhuwah dan mengisi bulan Ramadan dengan amalan yang bermakna.
“Suasana di perpustakaan bertambah syahdu apabila pelajar dan tenaga pengajar membaca ayat-ayat suci secara berjemaah, menzahirkan semangat kebersamaan dan keinsafan dalam mengejar keberkatan Ramadan.
“Program ini bukan sahaja bertujuan menggalakkan pelajar mendalami al-Quran, tetapi juga mendidik mereka mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian,” kata kenyataan itu hari ini.
Selain bacaan al-Quran secara berjemaah, program tersebut turut diadakan secara hibrid yang membolehkan penyertaan secara maya untuk semua warga KKSY.
Inisiatif tersebut, sedikit sebanyak dapat membentuk generasi pelajar yang lebih dekat dengan al-Quran, berakhlak mulia, dan bersatu dalam memperkukuh nilai Islam di KKSY. – Edisi 9

