PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap Yayasan Karyawan yang sudah mencecah 30 tahun untuk menetapkan hala tuju perancangan dan strategi baharu.
Menurut Perdana Menteri, ini bagi mempromosikan karya-karya agung supaya dapat dibekalkan ke semua jenis sekolah, universiti awam dan fakulti berkaitan.
“Usaha ini boleh diadaptasi dan disegarkan menerusi teknologi kecerdasan buatan (AI) dengan semua pihak berkepentingan serta memperkenalkan semula program Hadiah Bahasa di semua peringkat sekolah dengan kerjasama syarikat-syarikat korporat,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.
Sebelum itu Anwar menerima kunjungan Ahli Lembaga Amanah Yayasan Karyawan diketuai oleh Pengerusinya, Datuk A.Aziz Deraman hari ini.
Menurut Anwar, pertemuan itu telah menghimbau usaha beliau dan rakan-rakan seperjuangan yang cintakan pelbagai variasi karya agung dengan mengasaskan Yayasan Karyawan pada tahun 1996.
Katanya, penubuhan Yayasan Karyawan bertujuan mengkaji dan menerbitkan Karya Agung Melayu, Karya Agung Dunia Melayu dan Karya Agung Dunia di dalam bahasa Melayu.
“Karya Agung Melayu yang dipilih untuk diterbitkan merupakan karya agung kesusasteraan tradisional Melayu dan juga “Dunia Melayu” yang tertulis dalam bahasa-bahasa serumpun.
“Usaha menerbitkan Karya Agung Dunia juga diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, malah badan ini juga menjalankan kajian dan penterjemahan ke dalam bahasa Melayu karya-karya agung pilihan daripada tamadun bangsa-bangsa di luar dunia Melayu,” katanya.
Anwar berkata, dalam pertemuan itu turut dibincang hala tuju Yayasan Karyawan dalam aspek memelihara sumber rujukan, peneraju promosi dan peringkat pemilikan kepada karya-karya agung. – Edisi 9

