26.1 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

KPT salur RM8.6 juta peruntukan tambahan untuk IPT Sarawak

Mesti Baca

KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM8.6 juta bagi melaksanakan 32 projek membabitkan institusi pengajian tinggi (IPT) di Sarawak.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, peruntukan tambahan tersebut bagi kerja-kerja naik taraf, penyelenggaraan, penggantian dan pemasangan di fasiliti kolej kediaman, bilik kuliah, dan kemudahan IPT.

Beliau berkata, selain itu ia juga digunakan untuk kerja naik taraf bagi penyediaan kemudahan warga orang kurang upaya (OKU).

Daripada jumlah tersebut, beliau berkata, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) menerima peruntukan terbesar iaitu sebanyak RM4.8 juta diikuti Universit Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak dengan RM2 juta.

“Buat julung kalinya, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) telah menerima peruntukan penyelenggaraan fasiliti usang melibatkan tiga politeknik dan enam kolej komuniti dengan peruntukan tambahan keseluruhan sebanyak RM1.88 juta.

“Peruntukan tambahan ini sebagai usaha mendokong aspirasi Kerajaan Madani bagi menyediakan fasiliti dan ekosistem pendidikan yang kondusif serta berkualiti untuk melahirkan bakat-bakat terbaik negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum itu Zambry telah mengadakan Program Semarak Kampus Madani di Sarawak pada 5 dan 6 Mac.

Advertisements

Selain aspek pembangunan, Zambry turut berkesempatan meluangkan masa mendekati warga menerusi beberapa sesi libat urus dan program yang melibatkan kepimpinan tertinggi kementerian dan pemegang taruh lain.

Beliau turut melakukan tinjauan dan pemantauan fasiliti-fasiliti kemudahan dan kolej kediaman serta turut menginap di kolej kediaman pelajar untuk merasai pengalaman ‘kembali ke kampus’ bersama kepimpinan tertinggi kementerian yang lain.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuk sesi libat urus bersama warga IPT, ‘Bicara Santai DocZam’, ‘Bedah Buku Bersama DocZam’, program rewang penyediaan juadah, dan aktiviti riadah.

Dalam usaha untuk menghidupkan amalan sunnah Rasulullah SAW dan mengeratkan ukhuwah sesama warga, menteri dan pengurusan tertinggi kementerian turut berkesempatan untuk menjamah hidangan secara berkumpulan secara bertalam serta aktiviti Qiamullail.

Selain itu, sesi libat urus turut melibatkan IPT Swasta bagi tujuan memperkukuh sistem pendidikan tinggi negara.

Program Semarak Kampus Madani akan meneruskan jelajah ke 15 zon lain dengan pengisian dan program yang berimpak tinggi menerusi penglibatan IPT awam dan swasta serta komuniti. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Malaysia melangkah bergaya ke separuh akhir Piala Thomas

MALAYSIA melangkah ke separuh akhir Piala Thomas selepas membenam juara edisi 2014, Jepun 3-1 di peringkat suku akhir Pusat...

Lagi Artikel Berkaitan