26.2 C
Kuala Lumpur
Monday, April 29, 2024

SME Corp salur lebih RM22 juta bantu usahawan wanita

Mesti Baca

SERAMAI 1,065 usahawan wanita telah menerima bantuan kewangan daripada SME Corp Malaysia sepanjang tahun lalu yang membabitkan peruntukan sebanyak RM22.6 juta.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rizal Nainy berkata, jumlah tersebut merangkumi hampir 40 peratus daripada keseluruhan 2,708 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menerima manfaat daripada program pembangunan SME Corp. tahun lalu dengan nilai bantuan sebanyak RM92.6 juta.

Beliau berkata, pencapaian itu berjaya melepasi sasaran awal yang ditetapkan oleh pihaknya bagi memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus penerima manfaat adalah daripada kalangan usahawan wanita.

“SME Corp. kekal komited untuk membantu usahawan wanita dengan mensasarkan sekurang-kurangnya 30 peratus penerima manfaat bagi inisiatif dan program-program yang dilaksanakan adalah usahawan wanita.

“Bagi tahun 2024, sebanyak RM134.6 juta telah diperuntukkan untuk melaksanakan pelbagai inisiatif dan program.

“Kami mensasarkan lebih 16,700 PMKS bakal menerima manfaatnya pada tahun ini termasuklah usahawan wanita, sejajar dengan aspirasi kerangka Ekonomi Madani yang lebih saksama, inklusif dan mampan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, antara program yang banyak memberi manfaat kepada usahawan wanita adalah Program Pembangunan Perniagaan Usahawan Mikro (BizME).

Katanya, seramai 548 peserta atau 48 peratus daripada jumlah keseluruhan peserta iaitu 1,142 terdiri daripada usahawan wanita dengan bantuan bernilai RM1.7 juta.

Rizal berkata, SME Corp. juga telah membantu usahawan wanita melalui Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) bagi menggalakkan golongan belia menceburi bidang keusahawanan.

Advertisements

“Daripada 555 peserta yang telah diluluskan geran perniagaan berjumlah RM10 juta, separuh daripadanya adalah belia wanita iaitu seramai 280 peserta yang telah diluluskan geran perniagaan berjumlah RM4.3 juta,” katanya.

Beliau berkata, SME Corp. juga telah melaksanakan Program Pengukuhan Eksport PMKS yang bertujuan meningkatkan keupayaan pra-eksport serta menambah bilangan PMKS yang berpotensi menembusi pasaran global.

Seramai 121 PMKS milikan wanita telah mendapat kelulusan berjumlah RM3.3 juta, katanya.

Rizal berkata, program lain yang telah mencatatkan penyertaan memberangsangkan daripada usahawan wanita termasuk Program Peningkatan Kapasiti dan Keupayaan PKS (BAP), Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) dan Geran Perniagaan Mikro (GPM).

Beliau menjelaskan, program-program tersebut telah berjaya memanfaatkan lebih 100 usahawan wanita dengan kelulusan geran bernilai lebih RM12 juta bagi tujuan pembangunan kapasiti perniagaan mereka.

“Pada tahun ini juga, SME Corp. akan kembali menganjurkan Anugerah Enterprise 50 (E50) iaitu program anugerah berprestij yang mengiktiraf pencapaian 50 PMKS terunggul di Malaysia.

“Bagi mengiktiraf pencapaian dan sumbangan usahawan wanita, salah satu Anugerah Khas yang telah diwujudkan di bawah Anugerah tersebut adalah Anugerah Usahawan Wanita Terbaik E50,” katanya.

Kata beliau, bagi mempermudah PMKS memohon bantuan yang ditawarkan, mereka boleh memanfaatkan permohonan secara dalam talian melalui Sistem Bersepadu Penarafan & Insentif PMKS (MyBPI) yang baru diperkenalkan tahun ini. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Sultan Selangor ingatkan jemaah haji kekalkan disiplin diri

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan bakal-bakal haji dari negeri itu agar mengekalkan disiplin diri semasa berada di...

Lagi Artikel Berkaitan