27.1 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 5, 2024

MARA perluas tawaran program TVET kepada pusat tahfiz

Mesti Baca

MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) akan memperluaskan tawaran program pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) kepada pusat-pusat tahfiz seluruh negara.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ketika ini seramai 558 pelajar tahfiz sedang mengikuti 67 program TVET di pelbagai institusi MARA.

“MARA akan perluas tawaran pelbagai program latihan kemahiran TVET kepada pusat-pusat tahfiz seluruh Malaysia.

“Ketika ini 558 pelajar sedang ikuti 67 program TVET di pelbagai institusi MARA,” katanya dalam hantaran ringkas menerusi Facebooknya hari ini.

Sebelum itu, Bernama melaporkan, MARA merancang memperluaskan program TVET Tahfiz dengan memperbanyakkan kursus jangka pendek bersifat pembelajaran sepanjang hayat bagi memenuhi keperluan pasaran kerja beberapa sektor teknikal negara.

Menurut maklum balas bertulis MARA, perluasan program itu merangkumi bidang elektrik, automotif, reka bentuk fesyen, media digital, perabot, penyaman udara, perancah, hiasan dalaman, bangunan serta percetakan dan pengiklanan.

Ke arah itu, MARA memaklumkan insitusi pendidikan di bawahnya iaitu GiatMara dalam hala tuju sehingga 2030 akan memperbanyakkan program TVET Tahfiz yang dijalankan bawah konsep GiatMara Vocational Technical Hub (GVTH), sebuah kolaborasi kemahiran bersama komuniti, pelajar sekolah, agensi, dan pemain industri utama, ke institusi tahfiz di seluruh negara.

Menurut MARA, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) pula kini terlibat dalam kerjasama dengan Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) untuk mengiktiraf pelajar Hufaz Profesional Ulul Albab melalui perakuan sijil tahfiz bertahap selain dalam perancangan untuk menghantar pelajar ke universiti Islam terkemuka melalui program mobiliti pelajar jangka pendek.

Advertisements

Sementara itu, hantaran dibuat Asyraf Wajdi mendapat sambutan positif dalam kalangan warganet apabila rata-rata memuji langkah yang dibuat oleh MARA dalam mendekati pelajar tahfiz.

Seorang warganet, Danish Dhiyana Danial berkata, langkah MARA itu sebagai satu pengiktirafan kepada aliran tahfiz yang sebelum ini hanya mengutamakan ‘akhirat’.

“Wow! akhirnya ada yang iktiraf tahfiz layak dapat lebih baik selepas anak-anak ini didahului dengan akhirat. Datuk mmang terbaiklah, banyak idea bersama rakyat,” katanya.

Awang Aslee pula menganggap langkah MARA itu bakal memberikan berita gembira kepada anak-anak Melayu yang mendalami bidang al-Quran di pusat-pusat tahfiz seluruh negara.

“Alhamdullilah… Berita baik untuk anak-anak bangsa kita. Keep it up Datuk!”

Nor Shazwani Shamshudin pula berkata, ibu bapa tidak perlu bimbang jika anak-anak mereka tidak mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana mereka boleh mendaftar di GiatMARA.

Katanya, GiatMARA hanya mensyaratkan mereka yang berusia 15 tahun ke atas dan boleh membaca, menulis serta berminat.

“Pengambilan Program TVET Tahfiz mungkin terhad buat masa ini. Namun kelebihan program TVET Tahfiz pula ialah ada waktu diperuntukan untuk hafazan dan sebagainya,” katanya yang juga tenaga pengajar di Institut Kemahiran MARA (IKM). – Edisi 9

Advertisements

Terkini

USANITA pilih Awal Ashaari sebagai wajah untuk 2024

ATAS komitmen terbaik yang diberikan dalam memberikan kerjasama terhadap pelbagai program yang dijayakan oleh Usanita Sdn Bhd (USANITA), pelakon...

Lagi Artikel Berkaitan