27.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Pergiatkan lagi inisiatif tingkat sosioekonomi wanita – MASA

Mesti Baca

INSTITUT Masa Depan Malaysia (MASA) menggesa kerajaan mempergiatkan lagi usaha dan inisiatif bagi meningkatkan sosioekonomi wanita yang lebih inklusif.

Ketua Pegawai Eksekutif MASA, Azril Mohd Amin berkata, pihaknya menyokong segala bentuk pelaksanaan dasar yang saksama dan strategik yang boleh memupuk dan meningkatkan penyertaan serta kepimpinan wanita dalam sektor swasta dan awam.

Beliau berkata, selari dengan usaha kolektif MASA, Malaysia telah menetapkan sasaran penting untuk menghapuskan segala bentuk ketidakadilan dalam pasaran buruh, yang bertujuan tidak lain tidak bukan untuk memajukan hasil ekonomi wanita.

“MASA ingin menekankan betapa pentingnya langkah-langkah proaktif dan berterusan dalam memanfaatkan potensi besar wanita agar dapat memacu kemakmuran negara, komuniti, keluarga dan isi rumah.

AZRIL MOHD. AMIN

“Peranan dan sumbangan wanita amat diperlukan dalam menangani pelbagai cabaran bagi mengemudi pemulihan, reformasi dan transformasi ekonomi,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Wanita Antarabangsa 2024 hari ini.

Azril berkata, kajian mendedahkan bahawa walaupun separuh daripada populasi dunia terdiri daripada wanita, mereka hanya menyumbang 37 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global.

Advertisements

Katanya, nilai kerja tanpa gaji wanita adalah bernilai USD 10.9 trilion (RM51.13 trilion) pada ekonomi dunia dan ini jelas membuktikan pentingnya usaha-usaha untuk menjulang darjat mereka dalam pembinaan kapasiti dan keusahawanan.

“Pemerkasaan wanita merangkumi pelbagai aspek seperti pemerolehan pengetahuan, kesedaran, pembinaan kapasiti dan peningkatan penyertaan dalam proses membuat keputusan.

“MASA menyokong kesaksamaan dan pemerkasaan jantina serta mengakui pengetahuan dan kehebatan wanita dalam membuat keputusan yang amat penting bagi kemajuan masyarakat dan negara,” katanya.

Azril berkata, MASA juga memperakui bahawa konsep pemerkasaan wanita melangkaui konsep feminisme Barat, yang dilihat mencabar dan mengubah norma, amalan dan undang-undang masyarakat yang mengekang kesejahteraan dan pilihan mereka.

Katanya, MASA akan terus menjulang komitmen teguh kami dalam memperjuangkan kesaksamaan gender, memperkasakan wanita serta memupuk kemakmuran bersama untuk semua. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Politeknik Sultan Idris Shah pertahan gelaran FIRA Malaysia

POLITEKNIK Sultan Idris Shah (PSIS), Selangor berjaya mempertahankan kejuaraan keseluruhan Piala Federation of International Robot Soccer Association (FIRA) Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan