SETIAUSAHA Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir hari ini ‘mendedahkan’ 10 strategi yang dilakukan oleh BN dan UMNO sehingga berjaya menumbangkang Pas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Kelantan.
Beliau berkata, walaupun UMNO dan BN diserang bertubi-tubi oleh parti lawan diketuai Pengarah Jentera PRK Nenggiri Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Annuar Musa yang pernah memimpin ‘bilik perang’ UMNO/BN, namun dengan strategi yang tepat BN mencapai kemenangan.
Menurutnya, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sedar bahawa Annuar dan rakan-rakannya mahu menjadikan PRK itu sebagai referandum bagi menolak beliau selaku Presiden parti, sekaligus parti UMNO.
“Justeru beliau secara berpasukan, take charge meneliti setiap pelan dan langkah bagi menghalang usaha Annuar Musa dan rakan-rakannya,”katanya menerusi Facebook beliau hari ini.
Zambry berkata, PN dan Pas juga memasuki PRK Nenggiri dengan penuh keyakinan untuk menang bergaya memandangkan Kelantan sinonim dengan kerajaan daripada parti itu.
Justeru, katanya, mereka meletakkan calon yang merupakan daripada Pas tetapi ditukarkan kulit kepada Bersatu dalam usaha menguasai DUN Nenggiri.
Sehubungan itu, Zambry menyenaraikan 10 strategi dan punca yang membawa kemenangan UMNO/BN dalam PRK DUN Nenggiri, semalam:
Pertama, PN sangat yakin dengan gelombang Melayu/Islam yang menolak UMNO pimpinan Ahmad dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Justeru, kempen-kempen menanam kebencian dan penolakan terhadap Zahid, Anwar, kerajaan PH dan UMNO berjalan dengan penuh keangkuhan oleh pihak PN.
Kedua, pemilihan Annuar sebagai Pengarah Jentera PRK PN dan penampilan beliau dengan pakaian berjenama mewah memberi kelebihan kepada pasukan BN untuk menyusun strategi menentangnya.
Bagi ahli UMNO, apa yang dilakukan oleh Annuar terhadap BN dan pimpinannya sangat berlebihan tanpa mengenang langsung jasa UMNO/BN kepadanya selama ini.
Ketiga, BN menukar kaedah daripada ceramah besar-besaran kepada berkampung dan program taqarrub.
Meskipun tidak kedengaran dentam-dentum ceramah daripada BN, tetapi jentera menyelinap masuk ke kampung-kampung dan Pusat Daerah Mengundi (PDM) dengan penuh disiplin.
Keempat, ahli-ahli UMNO cukup berdisiplin sebagai pasukan. Mereka mengambil pendekatan under-dog ketika menyusun gerak kerja.
Pasukan dari negeri-negeri yang datang turut membantu BN Negeri Kelantan. Mereka tidak meninggalkan pengkalan atau datang sebagai “pelancong pilihan raya”.
Kelima, kawasan Orang Asli dijaga oleh pasukan Bahagian-bahagian dari negeri Kelantan sendiri dan negeri-negeri yang berpengalaman dengan golongan tersebut iaitu Perak dan Pahang.
Meskipun PN dengan lambang bulannya turut membina khemah-khemah mereka di kawasan Orang Asli, namun ia gagal menarik sokongan.
Keenam, kepimpinan Pengarah Jentera PRK BN dipimpin Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub yang efektif bersama dengan ketua-ketua bahagian. Beliau sangat hands-on dan begitu menekankan disiplin dalam kalangan pasukannya.
Ketujuh, peranan Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li sebagai orang yang sangat berpengalaman dalam kawasannya. Beliau telah memberikan nasihat dan menyediakan kaedah mengendalikan pengundi-pengundi di Gua Musang khsususnya di DUN Nenggiri.
Kelapan, calon BN yang baik. Pemilihan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Gua Musang, Mohd Azmawi Fikri Abd Ghani memberi banyak kelebihan kepada BN kerana beliau sudah dikenali dan berkhidmat di kawasan Nenggiri.
Kesembilan, langkah PN dengan ceramah-ceramah mega dan politik negara gagal memberi impak kepada kawasan luar bandar seperti Nenggiri. Ini ditambah dengan maki-hamun dan kutukan kepribadian terhadap pemimpin-pemimpin PH dan BN.
Kesepuluh, strategi isu tempatan seperti perihal tanah KESEDAR yang tidak diselesaikan oleh kerajaan negeri menjadi keutamaan pengundi lebih daripada isu politik ‘UMDAP’.
Dalam PRK DUN Nenggiri semalam, calon BN Mohd Azmawi Fikri Abd Ghani menewaskan calon Pas, Mohd Rizwadi Ismail dengan majoriti 3,352 sekali gus merampas kerusi tersebut daripada Bersatu.
Azmawi Fikri dari kerajaan Perpaduan memperoleh 9,091 undi mengatasi Rizwadi yang mewakili Perikatan Nasional (PN) memperoleh 5,739 undi. – Edisi 9