PEMAIN pertahanan Sabah FC, Daniel Ting dipanggil oleh Ketua Jurulatih, Kim Pan Gon untuk menyertai skuad Harimau Malaya bagi menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, Khamis ini.
Daniel yang sebelum ini berada dalam senarai menunggu dipanggil oleh Pan Gon selepas pertahanan negara, Azam Azmi Murad terpaksa dilepaskan daripada kem latihan ekoran masalah kecederaan.
“Daniel menggantikan Azam Azmi Murad dari Terengganu FC yang hadir melapor diri Jumaat lalu tetapi terpaksa dilepaskan semalam selepas pemeriksaan doktor mendapati terdapat kebimbangan kecederaan pada lututnya,” kata beliau dalam kenyataannya malam ini.
Malaysia bakal berdepan dengan Republik Kyrgyz pada 16 November di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum bertandang ke Taipei, untuk bertemu Taiwan pada 21 November dalam aksi Kumpulan D.
Menurut Pan Gon, dengan ketiadaan Azam Azmi, posisi pertahanan kanan akan diisi oleh Matthew Davies dan Syahmi Safari.
Syahmi sebelum ini dipersiapkan untuk bersama-sama La’Vere Corbin-Ong di posisi pertahanan kiri namun akan beraksi di sebelah kanan ekoran ketiadaan Azam.
“Semoga Azam cepat kembali sembuh dan seterusnya dapat dipanggil lagi pada kem latihan pusat Harimau Malaya yang akan datang,” kata Pan Gon. – Edisi 9