27.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

PRK Kemaman: Pertembungan dua calon bergelar ‘Tan Sri’?

Mesti Baca

SIAPA calon-calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman hampir terungkai menjelang hari penaman calon yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 18 November ini.

Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan calonnya pagi esok di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur manakala Pas pula dilapor akan berbuat demikian pada 16 November.

Namun khabar angin sedang bertiup kencang bahawa PRK Kemaman bakal menyaksikan pertembungan dua individu bergelar “Tan Sri” baik bagi calon BN mahupun Pas.

Bagi calon BN, bekas Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Raja Mohamed Affendi Raja Mohamed Nor disebut-sebut bakal dicalonkan untuk merampas kerusi Parlimen Kemaman itu daripada Pas.

Raja Mohamed Affandi, 65, walaupun dilahirkan di Besut, Terengganu tetapi dibesarkan di Kemaman manakala arwah bapanya pula dikatakan pernah bekerja di Klinik Kesihatan Kemasik.

Beliau kini merupakan Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) sejak Ogos 2021 lalu.

Raja Mohamed Affandi pernah menyandang jawatan sebagai Panglima Angkatan Tentera ke-19 pada 16 Disember 2016 sebelum bersara pada 2018 selepas menabur khidmat bakti kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selama 42 tahun.

Sebelum menerajui ATM sebagai Panglima Angkatan Tentera, Raja Mohamed Affandi dilantik sebagai Panglima Tentera Darat yang ke-25 pada 2013.

Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said sebelum ini ada memberi bayangan bahawa BN akan tampilkan calon yang tidak berjawatan dalam parti, seorang tokoh masyarakat dan diterima oleh semua pihak dalam PRK Kemaman.

Advertisements

Bagi pihak Pas pula, khabar angin bertiup kencang bahawa kemungkinan parti itu meletakkan bekas Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa untuk bertanding di Kemaman.

Annuar, 67, kini merupakan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat yang dilantik selepas beliau menyertai parti itu dan giat membantu parti dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Pilihan Raya Negeri (PRN) dan beberapa siri PRK.

Sumber memaklumkan kepada Edisi 9, Annuar diperlukan bagi membantu ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) untuk berhadapan dengan Kerajaan Perpaduan diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Annuar yang juga bekas menteri Kabinet mempunyai pengalaman dan petah dalam mematahkan hujah-hujah pihak lawan dilihat boleh menjadi senjata bagi PN di Parlimen.

“Annuar juga diperlukan sebab PN dah kehilangan empat Ahli Parlimen yang memberi sokongan kepada Anwar. Sebab itu PN dijangka meletakkan Anuar di Kemaman,” kata sumber.

Pas kini dikatakan berada di kemuncak politiknya sepertimana pernah dikecapi oleh UMNO pada tahun-tahun 1980-an dan 1990-an dahulu dan tidak gusar meletakkan “calon luar”.

“Pas kini ibarat letak beg pun boleh menang sepertimana UMNO pada tahun-tahun 1980-an, 1990-an dahulu. Jadi kalau letak Annuar sekali pun mereka tetap boleh menang,” kata sumber itu penuh yakin.

PRK Kemaman diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu membatalkan kemenangan Che Alias setelah pihak pempetisyen iaitu Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil (pengundi) berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU-15.

Susulan itu, Pas pada 3 Oktober lalu memutuskan untuk tidak memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan petisyen berkenaan. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Kerajaan Pusat lulus peruntukan RM1.59 bilion untuk Terengganu

KERAJAAN Persekutuan meluluskan peruntukan RM1.59 bilion di bawah Rolling Plan 4 (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi manfaat rakyat...

Lagi Artikel Berkaitan