
DALAM era digital yang penuh dengan ledakan maklumat, penyebaran berita palsu menjadi salah satu cabaran terbesar yang dihadapi oleh masyarakat dan negara.
Dunia hari ini membolehkan setiap individu berkongsi informasi hanya dalam sekelip mata, sama ada sahih atau tidak.
Dalam keadaan ini, wartawan memikul tanggungjawab yang sangat besar sebagai benteng utama dalam memastikan maklumat yang diterima masyarakat adalah tepat, sahih dan beretika.
Berbanding era sebelumnya, tugas wartawan kini tidak lagi terbatas kepada menyampaikan berita.
Mereka harus berperanan sebagai penyaring maklumat, memastikan setiap fakta yang dilaporkan telah disahkan dengan teliti dan diperoleh daripada sumber yang boleh dipercayai.
Proses ini bukan mudah, ia menuntut tahap ketelitian yang tinggi, disertai dengan nilai kejujuran dan integriti yang kukuh.

Tanpa usaha ini, berita yang disampaikan berisiko menyumbang kepada kekeliruan atau kegusaran dalam kalangan masyarakat.
Peranan penting ini turut diiktiraf oleh pimpinan negara. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menzahirkan penghargaan kepada pengamal media atas dedikasi mereka dalam menegakkan kebenaran dan menyampaikan maklumat yang tepat.
Menurut beliau, wartawan adalah “benteng penting dalam menghadapi cabaran maklumat tidak benar”.
Satu pengiktirafan yang menjelaskan betapa signifikan peranan media dalam memastikan kestabilan maklumat di negara ini.
Pengiktirafan terhadap tugas mulia ini diserlahkan lagi melalui sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana), yang diraikan setiap tahun pada 29 Mei.
Hari ini bukan sekadar simbol penghargaan kepada pengamal media, tetapi juga satu peringatan tentang peranan mereka dalam memastikan berita yang disampaikan sentiasa berlandaskan etika dan fakta.
Ia seiring dengan semangat yang diraikan di peringkat global dalam mengangkat profesion kewartawanan yang beretika dan berwibawa.
Etika kewartawanan menjadi tunjang kepada usaha mengekang berita palsu.
Kod etika menuntut wartawan untuk menyampaikan laporan berdasarkan bukti yang kukuh dan mengelak daripada menyebar maklumat yang tidak disahkan.
Dalam dunia yang dibanjiri pelbagai sumber maklumat yang tidak semuanya sahih, wartawan menjadi perisai utama dalam mempertahankan kebenaran dan kredibiliti media.
Kepercayaan masyarakat terhadap media tidak datang secara automatik, ia dibina melalui ketekunan dalam melapor, kejujuran dalam menyaring, dan tanggungjawab dalam menilai.
Menteri Komunikasi dan Digital, Datuk Fahmi Fadzil, turut mengingatkan bahawa pengamal media harus kekal berpegang kepada prinsip integriti dan profesionalisme.
Dedikasi mereka dalam memastikan masyarakat menerima maklumat yang benar sangat penting dalam membina sebuah negara yang bermaklumat dan berintegriti.
Secara keseluruhannya, wartawan bukan sekadar penyampai berita, mereka adalah penjaga kebenaran dan pembentuk kepercayaan masyarakat.
Dalam mendepani era digital yang semakin mencabar, tanggungjawab ini menjadi semakin penting.
Hanya dengan integriti, profesionalisme, dan komitmen tinggi, wartawan mampu memastikan maklumat yang tersebar dalam masyarakat benar-benar memberi manfaat, bukan sebaliknya. – Oleh NORASYAFIQAH CHE OSMAN (USIM)/Edisi 9

