Wednesday, June 17, 2026

Reformasi struktural bukan retorik tapi tuntutan realiti – Anwar

Ia menuntut perubahan menyeluruh dalam lima bidang kritikal iaitu kemampanan fiskal dan tatakelola, penyasaran subsidi, reformasi cukai, pembangunan modal insan, dan ketelusan institusi.

Mesti Baca

REFORMASI struktural bukan lagi satu pilihan, sebaliknya menjadi keperluan mendesak dalam memastikan ketahanan ekonomi negara dalam jangka panjang, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berucap ketika merasmikan Simposium Sasana 2025 di Sasana Kijang di ibu negara hari ini, beliau berkata, tema simposium iaitu Structural Reforms: Building a Resilient Malaysia, amat dekat di hatinya.

Ini kerana, menurut beliau, ia mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk melakukan perubahan menyeluruh, bukan bersifat kosmetik atau populis.

“Reformasi struktural yang sering disebut ini bukan sekadar usaha menutup ketirisan atau memperbaharui institusi Parlimen.

“Ia menuntut perubahan menyeluruh dalam lima bidang kritikal iaitu kemampanan fiskal dan tatakelola, penyasaran subsidi, reformasi cukai, pembangunan modal insan, dan ketelusan institusi,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada simposium tersebut.

Hadir sama Gabenor Bank Negara, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghafour.

Anwar yang juga Menteri Kewangan mengakui tidak semua dasar yang dirancang adalah popular, khususnya langkah perluasan asas cukai namun tegas beliau, Kerajaan MADANI memilih pendekatan bersasar dan adil demi kemaslahatan rakyat.

“Hasil tambahan ini dikembalikan kepada rakyat dengan mempertingkat kemudahan awam, terutama dalam sektor kesihatan yang semakin mendesak,” ujarnya.

Mengulas cabaran pelaksanaan reformasi, beliau tidak menafikan wujud desakan untuk melaksanakannya serta-merta, sementara segelintir pula ingin mengekalkan status quo demi kepentingan sendiri.

“Ada yang sanggup mengelirukan rakyat demi menggagalkan usaha reformasi ini. Namun saya percaya seluruh jentera kerajaan akan terus mendukung agenda ini dengan tekad dan iltizam,” katanya.

Dalam majlis tersebut, Perdana Menteri turut melancarkan Digital Asset Sandbox sebagai inisiatif memperkukuh infrastruktur kewangan negara dalam era digital. – Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan