26 C
Kuala Lumpur
Sunday, December 10, 2023

PRK Kemaman: BN yakin kredibiliti calon – Azalina

Mesti Baca

BARISAN Nasional (BN) yakin dengan kredibiliti calon ditawarkan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman sekali gus tidak tergugat dengan keputusan Pas meletakkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calonnya.

Ketua Penerangan UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said berkata calon BN iaitu bekas Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor adalah yang terbaik kerana beliau orang Kemaman.

“Saya yakin dengan perwatakan, pengalaman dan kerjaya beliau, kita di BN menawarkan seorang yang akan memberi khidmat kepada BN dan pengundi di Kemaman.

“Bagi saya bila nak memilih Ahli Parlimen keutamaan kepada calon adalah orang yang boleh memberi perkhidmatan dan saya yakin calon kita tawarkan akan memberi fokus kepada pengundi Kemaman sebagai agenda utama perjuangannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri perjumpaan bersama jentera Penerangan UMNO Terengganu di Chukai, Kemaman hari ini.

Azalina Othman mengadakan pertemuan dengan jentera Penerangan UMNO Kemaman di Chukai, Kemaman hari ini. – Foto Edisi 9

Dalam pada itu, Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang turut mencabar Samsuri meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar sekiranya beliau betul-betul ikhlas mahu mewakili dan berkhidmat untuk penduduk Kemaman sebagai Ahli Parlimen.

“Dalam sistem Westminster, memilih calon yang tidak memberi perkhidmatan sebab beliau (selalu) di luar kawasan, yang rugi adalah orang di kawasan itu.

“Kalau beliau yakin, saya nak cabar beliau hari ini letak jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu, fokus kepada Parlimen Kemaman, lawan satu dengan satu, baru adil,” katanya.

Semalam PAS mengumumkan Ahmad Samsuri sebagai calon parti itu bagi mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman pada PRK yang dijadualkan bermula esok dengan penamaan calon dan 2 Dis ini bagi hari mengundi.

PRK berkenaan perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Terkini

Pasangan warga asing diberkas jadi ejen permit kerja haram

WARGA asing dipercayai suami isteri dan ejen sindiket memperbaharui permit kerja secara penipuan, ditahan menerusi Ops Serkap di sebuah...

Lagi Artikel Berkaitan