28 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 16, 2024

Top Glove sukar pulih dalam masa terdekat

Mesti Baca

TOP Glove Corporation Bhd (Top Glove) dijangka tidak akan kembali pulih dan untung dalam tempoh terdekat berikutan persekitaran harga jualan purata (ASP) dan jumlah jualan yang rendah.

Menurut penganalisis, pengeluar sarung tangan getah terkemuka itu merekodkan kerugian bersih sebanyak RM454.01 juta pada suku keempat berakhir 31 Ogos 2023, 88.46 peratus lebih besar berbanding kerugian bersih RM52.39 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu.

Kerugian bersih yang lebih tinggi itu disumbangkan oleh rosot nilai yang tinggi yang mana jika tanpa rosot nilai berkenaan, kumpulan berkenaan merekodkan kerugian bersih sebanyak RM65 juta pada suku dikaji.

Penganalisis PublicInvest Research, Thye May Ting, berkata bank pelaburan itu kekal berhati-hati terhadap landskap operasi Top Glove, terutamanya berikutan persaingan sengit syarikat China.

Beliau berkata, berdasarkan semakan saluran dijalankan pihaknya mendapati syarikat China kini menjual pada harga semasa AS$14 hingga AS$15 bagi 1,000 keping sarung tangan, dengan margin lebih baik berikutan harga arang batu yang lebih rendah.

“Syarikat sarung tangan Malaysia mungkin menghadapi cabaran lebih lanjut dalam bahagian pasaran global kerana pelanggan mungkin terus mengalihkan pesanan mereka kepada syarikat China, terpikat oleh harga yang agak rendah.

“Justeru, kami menjangkakan Top Glove akan kekal rugi dan tidak mungkin kembali ke tahap keuntungan sebelum Covid-19 dalam masa terdekat,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Advertisements

Sementara itu, RHB Research mengekalkan saranan ‘neutral’ dengan harga sasaran (TP) baharu 80 sen terhadap saham Top Glove berbanding 84 sen sebelumnya.

Ia berkata, kerugian teras yang dicatat oleh Top Glove menurun dari suku ke suku kepada RM86.3 juta pada suku keempat berakhir 31 Ogos 2023, sekali gus membawa angka tahun kewangan 2023 sejajar dengan jangkaan pihaknya dan konsensus.

Katanya, meskipun terdapat cabaran-cabaran akan datang, pihak pengurusan menyatakan bahawa ia akan berusaha untuk menambah baik kecekapan operasi sambil bertekad untuk menjunjung amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) selepas dimasukkan dalam Indeks Kelestarian Dow Jones buat tahun kelima berturut-turut.

“Menuju ke hadapan, kami menjangka penyahtauliahan loji akan memberi kelegaan kepada Top Glove memandangkan loji yang usang kurang cekap dari segi tenaga dan buruh.

“Oleh sebab permintaan terus tidak menentu dalam jangka terdekat, sekarang kami jangkakan pemulihan yang ketara hanya akan terjadi pada separuh kedua 2024, kerana kadar penggunaan stok inventori lebih perlahan daripada jangkaan.

“Kami percaya kebimbangan utama dalam kalangan pelabur masih dipengaruhi oleh ketekalan pesanan pelanggan, persaingan harga dengan syarikat pesaing China serta sebarang langkah punitif yang timbul daripada kenaikan gaji minimum,” katanya. -Edisi 9

 

Advertisements

Terkini

KPM umum beberapa inisiatif termasuk lonjak kapasiti guru digital

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) hari ini mengumumkan beberapa inisiatif antaranya bagi melonjakkan kapasiti guru dalam bidang digital, kata Menteri Pendidikan,...

Lagi Artikel Berkaitan