27.4 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 30, 2024

Pos Malaysia lancar setem khas sempena Hari Pos Sedunia

Mesti Baca

SEMPENA sambutan Hari Pos Sedunia 2023 semalam, Pos Malaysia melancarkan setem khas Hari Pos Sedunia yang melambangkan warisan abadi perkhidmatan pos.

Sambutan Hari Pos Sedunia 2023 dengan tema Kepercayaan Bersama: Bekerjasama Demi Masa Depan yang Selamat dan Terhubung adalah acara global bagi meraikan perkhidmatan penting yang disediakan oleh sektor pos.

Majlis pelancaran setem itu disempurnakan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Dalam ucapan perasmiannya, Fahmi berkata, tema sambutan Hari Pos Sedunia 2023 merangkumi semangat perpaduan, perkongsian dan tanggungjawab bersama yang mentakrifkan peranan industri pos dalam dunia saling berkaitan.

Katanya, sambutan itu mengingatkan bahawa kepercayaan, perhubungan global, keselamatan dan kelestarian bukan sekadar aspirasi tetapi matlamat yang boleh dicapai apabila bekerjasama.

“Menerusi kerjasama dalam kalangan organisasi pos di seluruh dunia, kita dapat memastikan masa depan yang selamat, terhubung dan sejahtera untuk semua.

“Tema ini mencerminkan matlamat Pos Malaysia iaitu membina kepercayaan bagi menghubungkan kehidupan dan perniagaan demi masa hadapan yang cemerlang,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad, Charles Brewer.

Fahmi berkata, ketika ini terdapat lebih 17,000 kakitangan Pos Malaysia di seluruh negara, termasuk pekerja pos dan kurier yang sentiasa berkhidmat dengan gigih dalam persekitaran pelbagai dan mencabar.

Advertisements

Katanya, mereka terus memberikan komitmen jitu bagi memastikan penghantaran mel, dokumen dan bungkusan dilakukan dengan selamat dan tepat pada masanya walaupun dalam keadaan tidak menentu.

“Pada kesempatan ini saya menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada wira-wira tidak didendang ini, yang secara konsisten memberikan perkhidmatan cemerlang,” katanya.

Pada majlis itu, Fahmi turut melepaskan kumpulan pertama van elektrik Pos Malaysia dengan kerjasama DrivEV, sebuah anak syarikat Yinson GreenTech.

Beliau mengakui gembira apabila Pos Malaysia mengambil langkah proaktif untuk memenuhi komitmen terhadap sasaran mengurangkan jejak karbon dan menyasarkan pelepasan karbon sifar bersih (NetZero) menjelang 2050.

“Harapan saya ialah untuk melihat lebih banyak organisasi membuat perubahan positif serupa untuk masa depan yang lebih hijau dan mengutamakan alam sekitar,” katanya.

Sempena sambutan Hari Pos Sedunia 2023, Pos Malaysia juga bekerjasama dengan Postal Forum untuk menganjurkan pertandingan menulis surat ‘Apa Khabar?’.

Pertandingan itu membabitkan lebih 470 sekolah rendah dan menengah melalui Kelab Setem dan Filateli (KESEF Club).

Sekolah terpilih akan menerima Peti Harapan yang mengandungi poskad dan kata-kata harapan untuk pelajar.

Inisiatif itu bertujuan untuk mempromosikan seni menulis surat, menghubungkan rakyat Malaysia, dan mempromosikan penulisan kreatif dalam kalangan generasi muda, dengan peluang memenangi hadiah tunai bagi sekolah dengan jumlah penyertaan tertinggi. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Mahkamah lulus permohonan bekas kakitangan Utusan Melayu

SELEPAS hampir lima tahun tiada sebarang berita mengembirakan buat bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang ditamatkan perkhidmatan selepas...

Lagi Artikel Berkaitan