24.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Top Glove ambil langkah tangani isu buruh paksa

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Kerajaan melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengambil perhatian tindakan terkini Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) yang dilaporkan mengeluarkan arahan larangan import terhadap semua sarung tangan pakai buang dari kilang Top Glove di Malaysia.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, dakwaan yang dibangkitkan oleh CBP itu adalah rentetan dakwaan sebelumnya yang telah dan sedang diambil tindakan penyelesaian oleh Top Glove.

Menurut beliau, KPPK dimaklumkan pelbagai langkah dan tindakan telah diambil oleh pengurusan Top Glove untuk memastikan syarikat pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia itu mematuhi segala peraturan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) berkaitan penyalahgunaan tenaga kerja.

“Antara langkah yang diambil oleh syarikat berkenaan adalah mengemukakan laporan yang disediakan oleh perunding antarabangsa dari United Kingdom iaitu Impactt Limited (Impactt) kepada CBP pada 16 Mac 2021 untuk dinilai.

“Di samping itu, syarikat telah mengambil semua langkah yang diperlukan oleh pihak berkuasa AS untuk memastikan semua masalah dapat ditangani dengan segera.

“Sebelum itu, Impactt menerusi kenyataan pada 9 Mac 2021 mengesahkan, bahawa tidak ada buruh paksa secara bersistem dalam operasi syarikat Top Glove berdasarkan hasil penilaian yang dijalankan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Advertisements

Mohd Khairuddin menambah, KPPK turut dimaklumkan pada tahun lalu, syarikat berkenaan telah membelanjakan RM136 juta bagi mengurangkan bebanan hutang pekerja migran yang dikenakan oleh agensi pekerjaan.

Beliau memberitahu, langkah itu merupakan sebahagian daripada dasar pengambilan kos sifar dan audit pematuhan sosial yang dilaksanakan oleh syarikat sejak 2019.

“Amalan buruh yang baik sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan Malaysia Prihatin termasuk oleh KPPK di semua sektor agrikomoditi kerana Malaysia sememangnya mendukung amalan berkenaan demi kebajikan semua pihak menerusi pemerkasaan setiap undang-undang melibatkan kebajikan pekerja, sekali gus menyatakan pendirian tegas Malaysia menentang amalan buruh paksa.

“Komitmen Malaysia itu dibuktikan melalui Kajian Mengenai Situasi Buruh di Sektor Perladangan yang siap tahun lalu dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia, Jabatan Perangkaan dan wakil ILO selama dua tahun bermula pada 2018,” jelasnya.

Mohd Khairuddin berkata, KPPK melalui Majlis Getah Malaysia (MRC) dengan kerjasama Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) dan Kementerian Sumber Manusia serta agensi berkaitan sentiasa mengawasi, memantau dan memperingatkan pihak industri untuk mengambil berat kebajikan pekerja di sektor agrikomoditi serta mematuhi undang-undang demi kemaslahatan bersama. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan