GARA-GARA mahu makan percuma, seorang ekspatriat di Sepanyol berpura-pura terkena serangan jantung untuk mengelak membayar bil makanannya.
Lelaki berusia 50 tahun yang berasal dari Lithuania itu, melakukan taktik terbabit sekurang-kurangnya di 20 restoran.
Gambar lelaki itu dikongsi sebagai amaran kepada pemilik restoran, agar berhati-hati dengan aksi lakonan lelaki itu yang tidak masuk akal.
Dia akan melakukan aksi dramatik sama iaitu rebah di atas lantai di hampir setiap restoran yang disasarkan, majoritinya di Costa Blanca.
Antara kedai makan yang pernah ditipunya ialah El Buen Comer dan Sale&Pepe yang terletak di Alicante.
Pengurus restoran El Buen Comer berkata, lelaki itu bijak berdrama dengan berpura-pura pengsan sebelum merebahkan diri di atas lantai.
“Kami sudah menghantar gambarnya ke semua restoran sebagai amaran untuk mengelak dia mengulangi perbuatannya,” katanya seperti dilaporkan The Sun.
Perbuatan lelaki berkenaan akhirnya dibalas dengan dia dipenjara 42 hari selepas gagal membayar dua denda untuk bil makan malam.
Dia dianggap melakukan jenayah kecil kerana jumlah kerugian sedikit, namun semua pemilik restoran terjejas merancang untuk memfailkan aduan bersama yang boleh menyebabkan lelaki itu dipenjarakan sehingga dua tahun. -Agensi

