29.2 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 18, 2024

Salah faham pemandu e-hailing pekak, punca wanita terjun kereta

Mesti Baca

AKIBAT salah faham, seorang penumpang wanita terjun dari sebuah kereta e-hailing di Jalan Temasya Glenmarie, Shah Alam, baru-baru ini selepas curiga melihat sikap pemandu berkenaan.

Wanita itu dikatakan berasa kurang selesa apabila pemandu itu sering memandangnya melalui cermin pandang belakang.

Hasil siasatan polis mendapati, pemandu e-hailing terbabit sebenarnya adalah seorang orang kelainan upaya (OKU) cacat pendengaran yang tidak boleh berkomunikasi dengan wanita itu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, berdasarkan siasatan, mangsa berusia 31 tahun yang juga pekerja sebuah syarikat katering telah membuat tempahan aplikasi e-hailing kira-kira jam 9.30 pagi pada Rabu lalu.

Katanya, tempahan kenderaan itu adalah untuk mengambilnya di Transit Aliran Ringan (LRT) Glenmarie ke tempat kerjanya di Denai Alam.

“Mangsa yang berada di tempat penumpang belakang telah bertanya kepada pemandu lelaki berusia 26 tahun itu untuk membuat pembayaran secara tunai tetapi tidak dijawab pemandu berkenaan.

“Wanita berkenaan juga mendapati pemandu itu sering kali melihatnya melalui cermin pandang belakang,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Iqbal berkata, mangsa yang bimbang akan keselamatannya telah bertindak turun ketika kenderaan e-hailing jenis Perodua Axia itu sedang bergerak perlahan.

Advertisements

Wanita itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan akibat perbuatannya itu.

“Siasatan turut mendapati lelaki itu adalah pemandu e-hailing yang sah dan seorang OKU cacat pendengaran serta baru mula bekerja sehari sebelum kejadian.

“Wanita itu adalah pelanggan ketiganya pada hari kejadian dan suspek telah menjelaskan tersalah jalan disebabkan masih baru,” katanya.

Katanya, pemandu juga cuba membuat pusingan U di Jalan Temasya sebelum mangsa membuka pintu kereta kenderaannya.

Lelaki itu kemudiannya meneruskan perjalanan kerana ada permintaan pelanggan lain.

“Kes ini diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) kerana kejadian ini lebih kepada salah faham.

“Pengadu juga telah membuat laporan polis untuk menarik balik laporan polis yang dibuat sebelum ini selepas mengetahui kejadian sebenar,” katanya.

Terdahulu tular di laman sosial berhubung laporan polis mengenai kejadian terbabit termasuk nombor plat kenderaan pemandu itu. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

70,000 penduduk luar bandar nikmati elektrik biogas Felcra

KIRA-KIRA 70,000 penduduk luar bandar atau 14,000 rumah bakal menikmati bekalan elektrik yang stabil dan mencukupi menerusi janakuasa yang...

Lagi Artikel Berkaitan