33.9 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 5, 2024

Raja Mukriz akur babak akhir filem Pagari Bulan dipotong

Mesti Baca

PENGARAH Raja Mukriz akur dan terpaksa merombak semula babak akhir filem arahan terbaharunya, Pagari Bulan apabila ia dipotong oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF).

Raja Mukriz berkata, dia enggan mencetuskan polemik dan bimbang dianggap cuba mempromosikan fahaman komunis dalam naskhahnya itu.

“Saya terpaksa merombak penamat cerita dan menggantikannya dengan babak lain bagi mengelak perkara berbangkit. Cuma ada satu potongan LPF dan perkara ini perlu saya ceritakan kerana ia membabitkan babak terakhir.

“Penamat filem ini bukanlah berakhir seperti yang ditonton kerana versi asalnya memaparkan babak Bulan menyertai Malayan People Anti Japanese Army (MPAJA) dan babak itulah yang dipotong dan saya reda,” katanya.

Katanya, tiada niat langsung hendak mempromosikan fahaman komunis cuma dia mahu memberitahu, selepas Bulan menyertai MPAJA, barulah dia sedar komunis lebih teruk dan memutuskan untuk keluar daripada gerakan itu.

“Saya gantikan babak itu dengan foto Bulan memegang senapang bersama anak sambil diiringi suara latar. Babak itu sudah cukup menggambarkan penamat sebenar cerita itu.

“Saya mahu meraikan filem ini dan tidak mahu menimbulkan masalah. Jadi, saya akur sahaja dengan keputusan LPF,” katanya pada sidang media tayangan gala filem Pagari Bulan, baru-baru ini.

Selaku penerbit, Sharifah Shahora Syed Akil berkata, bukan tidak mahu mempertahankan babak berkenaan namun pihaknya perlu membuat pilihan terbaik selain tidak mahu mencetuskan propaganda politik.

“Sebenarnya ada beberapa babak yang hampir dipotong dan kita kena buat pilihan. Atas alasan tidak mahu ada propaganda, selain situasi politik ketika ini dan akan menimbulkan rasa kurang senang, kami dinasihatkan untuk membuang babak itu.

Advertisements

“Bagaimanapun saya bersyukur kerana babak potong tangan dan kepala dipenggal itu lepas. Cuma babak terakhir itu sahaja yang dipotong,” katanya.

Pagari Bulan mengangkat kisah perjuangan wanita iaitu Bulan dan kejadian berlaku pada tahun 1941 ketika tentera Jepun datang menawan Kelantan.

Diterbitkan oleh Eleven Field Creative Sdn Bhd, karya yang menerima dana filem kenegaraan bernilai RM2.5 juta itu dijayakan oleh Nazeera Sardi sebagai Bulan anak sulung pengusaha tanaman dan pemburu bernama Ismail dan isterinya, Hasnah.

Ketika itu, ramai penduduk kampung didera dan dibunuh. Anak gadis pula menjadi sasaran dengan ditahan dan dikurung sebagai ‘comfort woman’ atau pemuas nafsu tentera Jepun.

Bulan bersama adiknya, Kasih dan seorang lagi sahabat, Sui Li, ditangkap dan dipaksa menjadi wanita pemuas nafsu tentera Jepun.

Kekejaman tentera Jepun terhadap wanita membuatkan Bulan mempertaruhkan nyawa demi menyelamatkan bangsa dan tanah air.

Selain Nazeera, Pagari Bulan turut dibintangi Aniq Durar, Alvin Wong, Andy Teh, Trisha Ooi, Michael Ang dan Laila Nasir.

Filem ini bakal menemui penonton di seluruh pawagam tanah air bermula Khamis ini, 5 Oktober. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

USANITA pilih Awal Ashaari sebagai wajah untuk 2024

ATAS komitmen terbaik yang diberikan dalam memberikan kerjasama terhadap pelbagai program yang dijayakan oleh Usanita Sdn Bhd (USANITA), pelakon...

Lagi Artikel Berkaitan