Sunday, June 14, 2026

Mentega Terbang : LPF teliti aspek sebelum tindakan diambil

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

LEMBAGA Penapis Filem (LPF) sedang meneliti semua aspek berkaitan secara menyeluruh sebelum tindakan selanjutnya diambil berhubung dengan filem “Mentega Terbang”.

LPF menerusi kenyataan dikeluarkan berkata, pihaknya mengambil maklum akan isu yang berbangkit bagi filem bertajuk “Mentega Terbang” yang telah mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat umum di Malaysia setelah ulasan awam bagi filem ini tular di dalam media sosial pada masa kini.

“Berdasarkan semakan, didapati bahawa filem tersebut tiada dalam rekod penapisan LPF. Filem ini juga didapati ditayangkan secara dalam talian (melalui platform internet).

“Oleh yang demikian, tayangan atau penstriman filem “Mentega Terbang” ini adalah di luar bidang kuasa LPF.

“Walau bagaimanapun, LPF sentiasa peka dan komited dalam memastikan unsur- unsur negatif termasuk elemen yang bertentangan dengan akidah dalam filem dapat dicegah daripada disiarkan, dipamerkan, disebarkan, ditayangkan atau diedarkan secara konvensional kepada masyarakat umum di Malaysia.

“Sehubungan itu, memandangkan tiada kelulusan LPF yang dikeluarkan ke atas filem “Mentega Terbang” untuk tujuan tayangan umum, sekiranya masyarakat awam mendapati filem tersebut ditayangkan secara konvensional di mana-mana premis, aduan boleh disalurkan kepada Pejabat Penapisan Filem, KDN melalui e-mel [email protected] atau Sistem Pengurusan Aduan Awam KDN di pautan
https://moha.spab.gov.my/eApps/system/index.do”katanya.

Ujar LPF, pihaknya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melaksanakan tugas berdasarkan kepada Akta Penapisan Filem 2002 [Akta 620] yang menetapkan fungsi penapisan filem dan bahan publisiti filem yang disiarkan, dipamerkan, disebarkan, ditayangkan atau diedarkan secara fizikal (konvensional) kepada masyarakat umum di Malaysia, kecuali melalui internet.

“Di dalam mengeluarkan sesuatu keputusan ke atas penapisan kandungan filem dan bahan publisiti filem, LPF akan meneliti dan memberikan perhatian khusus berpandukan kepada Garis Panduan Penapisan Filem KDN 2010 yang merangkumi aspek-aspek seperti Keselamatan dan Ketenteraman Awam; Keagamaan; Sosiobudaya; dan Ketertiban dan Ketatasusilaan,”katanya.-Edisi 9

.

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan