27.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, July 18, 2024

Polis siasat kes ugut pengarah filem ‘Mentega Terbang’

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

POLIS membuka kertas siasatan berhubung kes ugutan yang diterima pengarah dan penulis skrip filem Mentega Terbang yang mendakwa menerima nota berunsur ugutan selain kenderaan disimbah cat.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dua laporan telah diterima berhubung kes berkenaan dan kedua-dua berlaku hari sama semalam melibatkan dua individu.

Menurutnya, kejadian pertama berlaku di tempat letak kereta terbuka di Taman Dagang Jaya, Ampang kira-kira jam 6.30 pagi di mana kereta pengadu jenis Proton Saga telah disimbah cat.

“Selain itu, turut dijumpai helaian kertas nota yang ditinggalkan berdekatan dengan kereta pengadu dengan tulisan perkataan-perkataan yang berunsur ugutan jenayah terhadap nyawa pengadu.

“Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 507 dan 427 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Ujar Hussein, kejadian kedua kira-kira jam 3.15 pagi di Kajang di mana kenderaan kru filem itu telah dibaling dengan plastik lut sinar berisi cecair cat.

Menurutnya, turut ditemui satu sampul surat warna putih yang ditulis perkataan-perkataan berunsur ugutan jenayah terhadap nyawa pengadu.

“Selain itu pengadu juga turut menerima mesej melalui telefon yang berunsur ugutan jenayah terhadap diri dan keluarga pengadu,” katanya.

Advertisements

Menurutnya, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang juga telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 507 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan ugutan jenayah melalui panggilan dan jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Seksyen 427 Kanun Keseksaan pula membawa hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan keharmonian dan keamanan negara.

“Pihak polis mengambil serius kejadian ini dan akan menyiasat sehingga mereka yang terlibat ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan.

“Pihak polis juga mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil sebarang tindakan atau perbuatan yang melanggar undang-undang,” katanya.

Justeru, polis meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat lanjut berhubung dengan dua kejadian terbabit untuk tampil dengan menghubungi mana-mana balai polis yang terdekat atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes iaitu Inspektor Mu’az Mazlan di talian 017-9788804 (IPD Kajang) dan Inspektor Alif ditalian 018-9834211 (IPD Ampang) bagi membantu siasatan.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

212 terima penajaan Biasiswa YDPA sejak 2006 – Wan Dahlan

SERAMAI 212 warganegara Malaysia telah menerima Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) menerusi 19 penawaran sejak diperkenalkan pad 2006 sehingga...

Lagi Artikel Berkaitan