KEKALAHAN 2-0 kepada Tajikistan dalam final Pestabola Merdeka 2023 pada 17 Oktober lalu memberi kesan kepada ranking skuad Harimau Malaya apabila turun tiga anak tangga dalam kemas kini terbaharu, semalam.
Harimau Malaya yang sebelum ini berada di tangga ke-134 pada 21 September lalu kini naik ke tangga ke-17 dalam ranking yang dikemas kini Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Dalam aksi Pestabola Merdeka yang juga diambil kira sebagai perlawanan persahabatan Tier 1, anak buah Kim Pan-gon berjaya menewaskan pasukan yang berada di ranking ke-102, India dengan keputusan 4-2.
Kemenangan tersebut memberikan Malaysia 6.04 mata tambahan dalam ranking FIFA namun kekalahan pada aksi final, memberikan kesan terhadap kedudukan skuad negara.
Namun, dalam aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, skuad negara tewas kepada lawan yang berada di ranking ke-110 hasil jaringan Rustam Soirov dan Shahrom Samiev.
Harimau Malaya akan mengharungi dua kelayakan Piala Dunia pada bulan depan dan dijadualkan menentang Kyrgyztan pada 16 November dan Taiwan (21 November).
Kedua-dua perlawanan itu turut memberikan mata kepada pasukan negara dengan dua pasukan terbaik akan mara ke pusingan ketiga kelayakan dan slot ke Piala Asia. – Edisi 9