26.4 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 30, 2024

Kes dadah: Nasib Yasin diketahui hari ini

Mesti Baca

NASIB penyanyi dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman, akan diketahui hari ini, sama ada dibebaskan atau dipanggil membela diri atas tiga pertuduhan kes dadah.

Keputusan di akhir kes pendakwaan itu akan dibuat Hakim Mahkamah Sesyen, Faiz Dziyauddin, pada jam 2 petang ini.

Pada 15 September lalu, Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, memaklumkan mahu menutup kes selepas selesai pemeriksaan semula terhadap pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya ketika itu, Inspektor Muhammad Amirul Mukmin Aziz.

Muhammad Amirul antara tujuh saksi pendakwaan yang dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan bermula 28 Ogos lalu.

Pihak pendakwaan juga menawarkan tujuh saksi kepada pembelaan termasuk Dr Brian Ho dan Dr Derrick Chow, masing-masing dari Hospital Pantai Kuala Lumpur serta Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Bagaimanapun, peguam bela Muhammad Yasin, Nur’Ain Shahiera Khalid, mengesahkan tidak bercadang untuk memanggil mana-mana saksi ditawarkan pendakwaan pada prosiding bela diri.

Advertisements

Muhammad Yasin, 48, didakwa memberikan dirinya dadah di pejabat narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pada jam 11.05 malam, 24 Mac tahun lalu.

Pendakwaan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15 (1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Penyanyi itu juga didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram dan menanam 17 pokok ganja dalam pasu plastik berisi tanah di kediamannya di Persiaran Surian, Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara, jam 5.30 petang, pada tarikh sama.

Pertuduhan memiliki dadah mengikut Seksyen 6 ADB 1952 dan boleh dipenjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh disebat tidak kurang 10 kali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan menanam pokok kanabis, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 6B (1) (a) ADB 1952 dan boleh dipenjara seumur hidup serta tidak kurang enam sebatan jika sabit kesalahan. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Mahkamah lulus permohonan bekas kakitangan Utusan Melayu

SELEPAS hampir lima tahun tiada sebarang berita mengembirakan buat bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang ditamatkan perkhidmatan selepas...

Lagi Artikel Berkaitan