MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) berhasrat untuk menerokai kerjasama bersama ‘Warwick Manufacturing Group’ (WMG) dalam Bidang Pembuatan Digital, Kejuruteraan, Teknologi Maklumat dan Keselamatan, Tenaga dan Mobiliti Masa Depan’
Perkara itu dinyatakan Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sewaktu mengadakan lawatan menemui pelajar-pelajar Malaysia terutamanya di bawah tajaan badan berkanun itu di Universiti Warwick.
Menerusi di hantaran Facebook, beliau berkata, selepas Birmingham, gerak ke Universiti Warwick pula untuk menerokai peluang kerjasama strategik dengan pihak universiti.
“Kerjasama itu khususnya dengan ‘Warwick Manufacturing Group’ (WMG) yang merupakan antara pusat berteknologi tinggi bagi penghasilan secara inovatif melalui kajian dan pembangunan teknologi dalam bidang sains, kejuruteraan dan teknologi.
“Saya turut diberi peluang untuk melihat kecanggihan teknologi di WMG dan tertarik dengan program-program yang disediakan di sini termasuk pengajian jangka pendek yang dijalankan dalam masa tiga hingga lima hari serta mempunyai hubungan yang kuat dengan pelbagai industri di seluruh dunia.
“Dalam pada itu, MARA juga berhasrat untuk menerokai kerjasama bersama WMG dalam bidang ‘Digital Manufacturing, Engineering, Information Technology and Security, Energy and Future Mobility’ yang mampu memberi impak terhadap produktiviti negara dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),”katanya. – Edisi 9

