32.1 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 28, 2024

Jumlah deposit dalam SSPN RM15.8 bilion, lebih 6 juta akaun

Mesti Baca

JUMLAH deposit dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) mencecah RM15.8 bilion sehingga 31 Ogos lalu, dengan membabitkan 6.04 juta akaun.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, jumlah tersebut menunjukkan SSPN kekal sebagai produk simpanan terbaik pilihan utama masyarakat di negara ini.

Beliau berkata, nilai simpanan dalam SSPN sentiasa menunjukkan peningkatan ketara setiap tahun, terutamanya dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

“Disebabkan kejayaan memberangsangkan itu, pihaknya menyasarkan jumlah deposit ketika Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2023 boleh mencapai RM220 juta.

“Saya yakin sasaran ini dapat dicapai dengan sokongan dan kerjasama pelbagai pihak serta strategi promosi yang dilaksanakan.

“Kejayaan program BMS 2018 hingga 2022 adalah penanda aras terbaik kepada PTPTN bagi merealisasikan matlamat ini,” katanya semasa pelancaran Bulan Menabung Simpan SSPN kelmarin.

Advertisements

Norliza berkata, pihaknya memberi jaminan, PTPTN yang sudah menginjak usia 26 tahun akan kekal komited dalam menyediakan kemudahan pinjaman, pengurusan bayaran balik serta membudayakan amalan penabungan dalam kalangan rakyat.

Katanya, matlamat utama perbadanan berkenaan adalah untuk memastikan tiada pelajar di negara ini tercicir daripada melanjutkan pengajian di peringkat tertinggi disebabkan masalah kewangan.

“Sehingga 31 Ogos lalu, PTPTN sudah membantu seramai 3.84 juta pelajar membabitkan dana pinjaman sebanyak RM70.02 bilion dan ini antara sumbangan besar kami dalam pembangunan modal insan negara,” katanya.

Katanya, Simpan SSPN yang diperkenalkan pada 2004 dan menjadi tabung pendidikan terbaik untuk ibu bapa merancang kewangan bagi pendidikan tinggi anak-anak mereka, menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat.

Keistimewaan dan manfaat itu termasuk pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, dividen kompetitif serta simpanan yang dijamin kerajaan dan patuh syariah. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Pelajar UPSI adakan program bakti bersama gelandangan

SEKUMPULAN pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengadakan program khidmat bakti bersama golongan gelandangan di Pusat Transit Gelandangan Kuala...

Lagi Artikel Berkaitan