26.6 C
Kuala Lumpur
Tuesday, May 7, 2024

SPAN taja pili cekap air di tiga masjid di Pahang

Mesti Baca

TIGA masjid di Pahang mendapat manfaat Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) melalui tajaan pemasangan pili cekap air.

Ia dilihat mampu mengurangkan hingga 50 peratus penggunaan bekalan terbabit berbanding pili konvesional.

Pengerusi Jawatankuasa Perlindungan dan Pendidikan Pengguna SPAN, Muhammad Sha’ani Abdullah berkata, tiga masjid yang terbabit ialah Masjid Negeri Pahang (Sultan Ahmad 1) Kuantan, Masjid Al Rahmat Felda Lembah Klau, Raub dan Masjid Abu Bakar, Mentakab.

“Sebanyak 60 pili cekap air akan dipasang di masjid Abu Bakar, Mentakab. Pili cekap air berlabel tiga bintang akan mengeluarkan sejumlah 1.5 liter sehingga maksimum empat liter air untuk setiap seminit berbanding lapan hingga 10 liter untuk pili konvensional,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Program CSR anjuran SPAN dan pengurusan Masjid Abu Bakar, Mentakab, Pahang.

Hadir sama, Anggota Suruhanjaya SPAN, Azrina Surip; Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau, Jabatan Agama Islam Pahang, Syed Ana Ruhaizat Syed Alwi; Pengarah Unit Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Pengguna SPAN, Fazil Ismail dan Pengerusi Masjid Abu Bakar, Abdul Aziz Abdul Karim.

Muhammad Sha’ani berkata, inisiatif SPAN itu dibuat menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dijalankan sejak 2017 iaitu menaja penggunaan produk-produk cekap air di premis tumpuan termasuk surau dan masjid di Semenanjung Malaysia.

Advertisements

“Data penggunaan di masjid-masjid yang telah ditaja sebelum ini mendapati terdapat pengurangan penggunaan air sekitar 50 peratus berbanding penggunaan menggunakan pili biasa.

“Ini adalah satu penjimatan yang amat menggalakkan dan ia dapat membantu melestarikan perkhidmatan dan bekalan air,” katanya.

Beliau yang juga Anggota Suruhanjaya SPAN berkata, sebanyak 16 masjid di Semenanjung Malaysia terbabit dalam penukaran pili setakat ini dengan purata 30 pili setiap masjid.

“Antara negeri yang terbabit ialah Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Kelantan, Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Melaka.

“Tahun lalu, pihak IWK telah menjalankan aktiviti pembaikan tandas-tandas di 485 rumah-rumah ibadat yang turut membabitkan penukaran pili cekap air di premis tandas,” katanya.

Terdahulu, pada 2013, Skim Pelabelan Produk Cekap Air (SPPCA) diperkenalkan dengan objektif bagi meningkatkan kesedaran awam tentang kewujudan produk-produk cekap air di pasaran seterusnya menggalakkan gaya hidup hijau dengan penggunaan produk berkenaan.

Terdapat lima produk yang terdapat di bawah SPPCA iaitu pili air, pancuran mandi, tangki tandas dua simbahan, peralatan urinal dan mesin basuh. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

MASA, IDS jalin kerjasama bidang penyelidikan, masyarakat

INSTITUT Kajian Pembangunan (Sabah) IDS dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA), hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bertujuan menjalin...

Lagi Artikel Berkaitan