CELCOMDIGI Bhd dan TIME dotCom menjalin kerjasama dalam memberikan komitmen menyediakan lebih banyak pilihan sambungan gentian rumah di seluruh negara, sekali gus menawarkan penyelesaian bersepadu kepada pelanggan Celcom dan Digi.
Menerusi kerjasama itu, CelcomDigi akan memanfaatkan infrastruktur jalur lebar gentian TIME untuk memperluaskan tawaran gentiannya kepada lebih ramai rakyat Malaysia, terutamanya penghuni kondominium dan pangsapuri.
Pelanggan CelcomDigi akan menikmati faedah hebat seperti jalur lebar berkelajuan tinggi hingga satu gigabait seaat (Gbps), kelajuan muat naik yang tinggi menerusi tawaran kelajuan laluan menurun dan laluan menaik yang simetri TIME serta pemasangan gentian yang lebih pantas.
Dengan memanfaatkan infrastruktur sedia ada, kerjasama seperti ini membolehkan CelcomDigi menawarkan pelan dengan gentian yang menyokong keperluan pelanggan, umpama pelan sehenti untuk keperluan sambungan yang menyeluruh.
Kerjasama ini juga membolehkan CelcomDigi menyediakan perkhidmatan Internet dengan pantas dan lebih cekap dari segi kos, selaras dengan aspirasi digital negara.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Albern Murty, berkata kerjasama dengan TIME adalah permulaan yang kukuh buat CelcomDigi dalam mengembangkan tawaran sambungannya agar lebih ramai rakyat Malaysia dapat menikmati pengalaman Internet yang lancar dan konsisten baik di dalam mahupun luar rumah.
“Pelanggan kami kini mempunyai penyelesaian bersepadu yang berpatutan untuk keperluan Internet dan gaya hidup mereka.
“Terdapat lebih banyak lagi inisiatif pada masa akan datang yang bermanfaat kepada rakyat Malaysia hasil daripada usaha sama strategik kami bersama TIME,” katanya dalam satu kenyataan.
Pengarah Eksekutif TIME, Datuk Zainal Amanshah, pula berkata syarikat itu telah memberikan akses terhadap rangkaian ‘gig-speed’ TIME kepada penyedia perkhidmatan Internet untuk beberapa ketika dan kini berbesar hati dapat menyokong dalam menyediakan sambungan Internet yang pantas dan konsisten kepada pelanggan CelcomDigi pula.
“Kami percaya akses terhadap Internet berkelajuan gigabit perlu diperluaskan kepada seramai mungkin rakyat Malaysia, justeru kami akan terus mengembangkan liputan ke seluruh Malaysia,” katanya. -Edisi 9