SEORANG penunggang motosikal maut digilis sebuah treler dalam kejadian yang berlaku di Kilometer 23.1 Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) di sini.
Mangsa, Mohammad Hanafi Mohammad Khalipah, 30, berasal dari Taman Matang Jaya, Sungai Buloh.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada jam 6.45 pagi.
“Sejurus menerima maklumat, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Damansara dengan kekuatan seramai sembilan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setiba di lokasi, kemalangan melibatkan motosikal jenis Yamaha LC dengan sebuah treler.
“Mangsa seorang lelaki warga tempatan telah tersepit di bawah tayar treler terbabit,”katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata, daripada siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai menunggang motosikal seorang diri dan dalam perjalanan dari arah Kota Damansara menghala Jalan Duta, Kuala Lumpur.
Katanya, anggota bomba kemudian menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa.
“Mangsa dipercayai meninggal dunia berdasarkan pemeriksaan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM).
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,”katanya. – Edisi 9