24.7 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

3 maut, 4 cedera nahas tiga kenderaan di Rompin

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

TIGA maut manakala empat cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 126, Jalan Kuantan-Segamat, Rompin, Pahang, malam tadi.

Dalam kejadian berkenaan, mereka yang maut ialah Abdul Raziz Mohdal, 40, Mohd Khairol Md Tahir, 36 dan Zairulzaimy Jambi, 18.

Menurut Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azahari Mukhtar, kemalangan membabitkan sebuah treler, kereta Proton Iswara dan Perodua Axia itu berlaku pada 8.50 malam.

“Siasatan awal mendapati treler bergerak dari arah Kuantan menghala ke Segamat.

“Apabila sampai di tempat kejadian, tiba-tiba kereta Proton Iswara dari arah Segamat dipercayai masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan treler.

“Kemalangan itu menyebabkan treler hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan Perodua Axia dan terus terjatuh ke bawah cerun di sebelah kanan jalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Advertisements

Ujar Azahari, akibat kemalangan itu, kelindan treler, Abdul Raziz; pemandu Proton Iswara, Mohd Khairol dan penumpang belakang Iswara, Zairulzaimy meninggal dunia di tempat kejadian.

“Empat mangsa lain iaitu pemandu treler, dua penumpang Iswara dan pemandu Axia yang cedera dibawa ke Hospital Muadzam Shah, Rompin untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang Zulfadli Zakaria berkata, seramai 15 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muadzam Shah dan BBP Chini, Pekan ke lokasi kemalangan untuk operasi menyelamat dan mengeluarkan mangsa.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan