26.1 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 5, 2024

Beri pelepasan kekal MDR ke atas peniaga – Ka Siong

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KERAJAAN dicadangkan agar memberi penepian secara berkekalan terhadap caj kadar diskaun pedagang (MDR) yang dikenakan ke atas peniaga yang menggunakan pembayaran secara DuitNow QR.

Ini kerana, kata Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong, tiada kos penyelenggaraan pada bank untuk aplikasi DuitNow QR.

“Kalau urusniaga secara tunai, bank perlu menyediakan juruwang menerima wang tunai dan mesin ATM yang memerlukan kos pengoperasian.

“Justifikasi bank bahawa perlu menanggung kos keselamatan siber itu tidak masuk akal. Itu memang tanggungjawab bank melindungi pelanggannya. Tanpa DuitNow QR, kos keselamatan siber tetap wujud.

“Tambahan pula, syarikat PayNet dimiliki oleh Bank Negara Malaysia bersama-sama dengan 11 buah bank tempatan yang lain. Cukuplah keuntungan bank dah melambung tinggi,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.

Terdahulu, beliau yang juga Presiden MCA mengambil bahagian dalam Perbahasan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu dalam perkembangan berlainan, Ka Siong turut menyentuh mengenai projek pelebaran Lebuhraya Utara – Selatan (PLUS) kepada tiga lorong satu hala dari Yong Peng ke Skudai.

“Saya minta kerajaan jangan pula lupa pelebaran untuk baki 45 kilometer (km) lagi iaitu dari Simpang Renggam ke Yong Peng Utara.

Advertisements

“Ini penting untuk melengkapkan pelebaranjalan di Lebuhraya terbabit demi kelancaran trafik di laluan yang memang mempunyai jumlah trafik yang tinggi.

Katanya, tahun lalu telah diluluskan lebih daripada RM500 juta untuk pelebaran fasa pertama dari Skudai ke Sedenak.

“Dalam Belanjawan 2024, lebih daripada RM900 juta diperuntukkan untuk pelebaran dari Sedenak ke Simpang Renggam,”katanya.

Selain itu, bekas Menteri kabinet itu turut mencadangkan kepada kerajaan supaya memberi pertimbangan untuk meningkatkan amaun pelepasan diri dan tanggungan bagi pembayar cukai pendapatan individu yang setakat ini kekal pada RM9,000 setahun.

“Ini kerana amaun tersebut tidak lagi realistik dan tidak disemak sejak tahun 2010. Setelah 13 tahun berlalu, inflasi telah meningkat dengan ketara.

“Justeru, saya rasa wajar kerajaan menaikkan amaun pelepasan diri dan tanggungan ke RM12,000 yang bersamaan dengan RM1,000 setiap bulan, bagi menggambarkan senario kehidupan rakyat yang sebenarnya pada hari ini.

“Saya yakin peningkatan amaun pelepasan diri dan tanggungan akan membantu golongan B40 dan M40 yang amat terkesan dengan inflasi,” katanya.

Ka Siong berkata, mudah-mudahan kerajaan mendengar dan melaksanakan apa yang dibangkitkan ini mewakili suara rakyat Malaysia. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

USANITA pilih Awal Ashaari sebagai wajah untuk 2024

ATAS komitmen terbaik yang diberikan dalam memberikan kerjasama terhadap pelbagai program yang dijayakan oleh Usanita Sdn Bhd (USANITA), pelakon...

Lagi Artikel Berkaitan