25.4 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 28, 2024

PRK Kemaman: UMNO perlukan calon luar biasa

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) telah menentukan tarikh-tarikh penting bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parimen Kemaman yang mana hari pengundian ditetapkan pada 2 Disember dan hari penamaan calon pada 18 November 2023.

Ia berikutan keputusan petisyen pilihan raya di mana mahkamah telah membatalkan keputusan pilihan raya Parlimen itu pada 19 November tahun lalu.

Dalam PRK Kemaman nanti sudah tentu Pas akan mempertahankan kerusi tersebut yang dimenangi sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu manakala UMNO pula sudah pasti akan menebus kekalahan tersebut.

Ada khabar mengatakan Pas bakal meletakkan bekas Perdana Menteri yang berusia hampir 100 tahun, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam PRK Kemaman dan jika benar ia sesuatu yang luar biasa dilakukan parti tersebut.

Lalu persoalan yang paling semua ingin tahu ialah siapa pula calon bagi pihak UMNO?

Pas sekarang dalam keadaan selesa selepas menang 8-0 dalam PRU15 di Terengganu dan 32-0 dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang diadakan beberapa bulan lepas, sekali gus menjadikan negeri itu pembangkang sifar.

Memang di atas kertas, Pas dan Perikatan Nasional (PN) tidak mempunyai masalah untuk mempertahankan kerusi Kemaman, siapa pun calon yang dipertaruhkan.

Namun tidak bagi UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang bukan sahaja memerlukan strategi yang berbeza untuk merampas kembali Kemaman tetapi juga soal calon.

UMNO Kemaman tidak boleh lagi bergantung harap kepada calon biasa-biasa sahaja atau yang sudah biasa dicalonkan untuk merampas Kemaman. Sebaliknya mereka memerlukan calon “luar tabii” (luar daripada kelaziman).

Malahan jika perlu, UMNO boleh meletakkan calon daripada luar — luar daripada parti bahkan jika perlu, calon luar dari negeri tersebut.

Mempertaruhkan calon luar bukanlah sesuatu yang luar biasa bagi UMNO apabila dalam PRU15 lalu, parti itu “berani” meletakkan calon-calon luar untuk bertanding di negeri-negeri bukan kawasan calon berkenaan.

Advertisements

Misalnya, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang diletakkan bertanding di Parlimen Gerik atau bekas Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan yang bertanding di Parlimen Arau.

Kemenangan calon Pas di Kemaman pada PRU-15 lalu dibatalkan setelah mahkamah mendapati Pas memberikan suapan kepada pengundi.

Malahan UMNO juga berani mencalonkan Ustaz Khazim Elias untuk bertanding di Parlimen Larut sebelum pendakwah bebas untuk menarik diri.

Justeru, adalah tidak mustahil dan bukan pula menjadi masalah sekiranya UMNO terpaksa mempertaruhkan calon luar di Kemaman, asalkan membawa kemenangan kepada parti itu.

Ada cakap-cakap dalam kalangan ahli UMNO di Kemaman yang menyebut nama seperti Azizulhasni Awang sebagai ‘calon luar biasa’ untuk dipertaruhkan di Kemaman kerana yakin jaguh lumba basikal pecut negara itu mampu membawa kemenangan kepada UMNO dan BN.

Lagi pun Azizulhasni walaupun ‘orang Dungun’ tetapi mempunyai hubungan signifikan dengan Ahmad Said selaku bekas Menteri Besar Terengganu dan Ahmad Shabery Cheek sebagai mantan Menteri Belia dan Sukan.

Jika pun bukan Azizulhasni, UMNO boleh juga memikirkan nama-nama besar lain yang ada dalam kalangan parti itu yang berada di luar Terengganu, untuk dipertaruhkan di Kemaman. Khairy Jamaluddin misalnya, siapa tahu?

Matlamatnya adalah untuk menang dan merampas kembali Kemaman daripada Pas. Lalu, siapa pun calon yang dipilih oleh pucuk pimpinan parti, ia perlu diterima oleh pengundi muda, pengundi atas pagar serta penyokong-penyokong setia UMNO dan BN.

Dalam keadaan sekarang akar umbi dan jentera tidak boleh memilih “nak calon tempatan sahaja” kerana mahu tidak mahu mereka perlu memikirkan soal kemenangan.

Tidak guna jika meletakkan calon tempatan yang biasa-biasa atau mereka yang sudah biasa dicalonkan apatah lagi mereka yang sudah tewas beberapa kali dalam pilihan raya sebelum ini tetapi akhirnya mereka tewas lagi.

Jika demikian, lebih baik UMNO dan BN memberi kemenangan percuma kepada Pas supaya tidaklah membazir dari segi wang ringgit, tenaga dan masa.

UMNO bertanding untuk menang dan bukan untuk kalah. Jika demikian, lakukanlah apa cara sekali pun asalkan menjamin kemenangan. Tak gitu?

Advertisements

Terkini

Kerajaan Pusat lulus peruntukan RM1.59 bilion untuk Terengganu

KERAJAAN Persekutuan meluluskan peruntukan RM1.59 bilion di bawah Rolling Plan 4 (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi manfaat rakyat...

Lagi Artikel Berkaitan