26.6 C
Kuala Lumpur
Friday, May 10, 2024

Tengkujuh: 61,839 pegawai, anggota pelbagai agensi siap-siaga

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SERAMAI 61,839 pegawai dan anggota daripada pelbagai cabang agensi kerajaan di semua peringkat berada dalam keadaan siap-siaga dengan sokongan pelbagai aset bagi menghadapi musim Monsun Timur Laut yang dijangka bermula bulan depan sehingga Mac 2024.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, selaku Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bertanggungjawab memastikan semua cabang agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana di setiap peringkat bersedia menghadapi sebarang bencana sewaktu MTL 2023/2024 kelak.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengenal pasti sebanyak 5,648 lokasi hotspot banjir meliputi 161 buah daerah di seluruh negara.

“Bagi pemantauan dan amaran awal, Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) kini beroperasi di 25 lembangan sungai utama negara meliputi negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor.

“Selain itu, pihak JPS turut bersedia dengan 1,342 buah stesen telemetri hujan dan aras air, 543 buah siren amaran banjir dan 1,526 buah tolok lurus serta 737 buah pam bergerak,”katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid berkata, dari aspek pengurusan kebajikan mangsa, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah bersiap sedia mengaktifkan 8,481 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negara yang mempunyai kapasiti untuk menempatkan seramai 2,158,743 mangsa.

“Pihak JKM juga telah menerima peruntukan sebanyak RM35.85 juta bagi pengurusan bencana di seluruh negara.

“Peruntukan ini adalah untuk tujuan perolehan barang keperluan bencana, penyediaan makanan dan minum mangsa yang berpindah ke PPS, perolehan makanan retort serta bantuan pemulihan bencana.

“Pihak JKM juga telah bersedia memaksimumkan fasiliti penyimpanan bantuan bencana di seluruh negara bagi mengadapi MTL di lapan buah Depot Simpanan Keperluan Bencana (DSKB) di seluruh negara.

“Selain itu, JKM juga mempunyai sebanyak 137 buah stor bencana di peringkat negeri dan daerah termasuk 68 buah mini depot,”katanya.

Menurut beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah, bagi memastikan bekalan barang keperluan bencana mencukupi terutamanya di kawasan yang berisiko tinggi terputus hubungan, sebanyak 561 buah pangkalan hadapan telah disediakan.

Advertisements

Dalam masa yang sama, katanya, semua Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah diarahkan untuk diaktifkan bagi tujuan pemantauan dan koordinasi pengurusan bencana.

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) pula diminta untuk melaksanakan persediaan sewajarnya lebih awal bagi memastikan penyampaian bantuan sewaktu bencana berjalan dengan lancar.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, bagi memantapkan kesiapsiagaan komuniti, NADMA melalui program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM) telah menyantuni seramai 24,069 peserta yang terdiri daripada ketua-ketua komuniti, belia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) setakat September 2023.

“Bagi tujuan pengoperasian bencana MTL 2023/2024, sebanyak RM323.63 juta akan diperuntukkan kepada JPBN untuk kegunaan 160 buah daerah di bawah semangat Malaysia Madani bagi mengurangkan kesukaran dalam menguruskan bencana MTL saban tahun dan memastikan kebajikan rakyat yang terjejas sentiasa terpelihara.

Ujar beliau, melihat kepada senario bencana mutakhir ini, semua pihak yang berkaitan perlu lebih ke hadapan dalam merancang persediaan menghadapi sebarang bencana.

“Usaha mengurangkan risiko bencana bukan sahaja terletak di bahu Kerajaan Pusat, malah Kerajaan Negeri dan pentadbiran Daerah mempunyai tanggungjawab yang sama penting untuk bersama mengurus dan mengurangkan risiko bencana.

“Tadbir urus yang berlandaskan pengurangan risiko bencana dalam perancangan pembangunan, guna tanah, pengurusan air dan
penyelenggaraan yang tertakluk di bawah kuasa negeri merupakan tiang bagi mengelakkan bencana dari terus berlaku serta memastikan
pembangunan yang mampan untuk kesejahteraan rakyat khususnya generasi akan datang.

“Justeru, perkara ini perlu diberi perhatian serius oleh semua Kerajaan Negeri.

“Saya berharap semua pihak tekad merancang dan melaksanakan penambahbaikan pengurusan dan pengurangan risiko bencana melalui dasar, pelan tindakan, program, serta projek yang bermanfaat dan sesuai dengan risiko bencana yang dihadapi sekarang.

“Dengan kerjasama serta komitmen daripada semua pihak yang terlibat, pengurusan dan pengurangan risiko bencana dapat dilaksanakan dengan baik demi kesejahteraan rakyat dan negara,”katanya. – Edisi 9


Advertisements

Terkini

Dua helikopter TLDM terhempas dalam keadaan ‘airworthy’

DUA helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terhempas di Lumut ketika raptai lintas hormat sempena Hari TLDM Ke-90...

Lagi Artikel Berkaitan