26.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 9, 2024

Trak aiskrim jadi rumah mayat di Gaza

Mesti Baca

SUSULAN jumlah mayat melebihi kapasiti bilik mayat hospital di Gaza, trak aiskrim terpaksa dijadikan tempat penyimpanan mayat mangsa serangan rejim Israel.

Trak putih dilitupi dengan poster aiskrim di tempat letak kereta hospital di tengah Gaza, Deir el-Balah, kini dipenuhi dengan mayat yang dibalut dengan bungkusan putih.

Antara mayat yang disimpan di trak itu ialah ahli keluarga kepada penduduk tempatan, Talaat Abu Lashine.

“Dua peluru membedil rumah pada waktu Subuh yang didiami 16 orang termasuk lapan kanak-kanak yang sedang tidur menjadi mangsa,” katanya.

Israel menggempur Gaza sejak beberapa hari ini, bertujuan menewaskan pejuang Hamas yang melancarkan serangan pada 7 Oktober lalu, sebelum mengorbankan kira-kira 1,400 orang di selatan Israel.

Serangan udara Israel pula meragut sekurang-kurangnya 2,750 nyawa di Gaza, menyebabkan bilik mayat yang hanya muat untuk menempatkan puluhan tubuh, kini melepasi kapasiti.

Sementara itu, di utara Gaza City, banyak mayat dilihat ditinggalkan begitu sahaja di unit forensik selepas puluhan ribu penduduk mengendahkan amaran Israel supaya melarikan diri ke bahagian selatan menjelang serangan darat, dalam masa terdekat ini.

Ketua Biro Media Hamas, Salama Maruf, berkata sebuah kubur di kawasan luas disediakan bagi mengebumikan kira-kira 100 jenazah susulan banyak mayat yang tidak dituntut di al-Shifa.

“Hospital itu terus menerima jumlah mayat yang banyak dan bagi mengelakkan jenazah rosak, kubur ‘besar’ disediakan bagi mengebumikan mereka,” katanya.

Advertisements

Sementara itu, Ketua Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini berkata, bekalan beg mayat juga mengalami kekurangan di Gaza.

“Setiap kisah dari Gaza adalah mengenai kelangsungan hidup, rasa putus asa dan kehilangan,” katanya.

Petugas di tanah perkuburan di Rafah, selatan Gaza, Ihsan al-Natour, pula berkata, jumlah mayat yang terlalu banyak menyebabkan identiti mereka tidak sempat dikenal pasti.

“Terdapat banyak kanak-kanak dalam kalangan syuhada, kami mengebumikan tiga hingga empat jenazah dalam satu liang lahad,” katanya.

Kementerian Hal Ehwal Agama Gaza mencadangkan penggunaan kubur secara awam berikutan jumlah kematian yang besar dan kekurangan ruang pengebumian.

Hamas, yang mengawal wilayah itu sejak 2007, menyatakan kira-kira 1,000 mayat mungkin masih berada di bawah runtuhan, selain memberi amaran risiko penyakit merebak.

Di Rafah, penduduk dilihat menyiapkan kubur baharu, dengan meletakkan batu bata dan jubin di sekeliling timbunan tanah yang baru digali.

Mereka dilihat mengebumikan tiga mayat kanak-kanak dalam satu liang lahad kerana kekurangan tempat. -Agensi

 

Advertisements

Terkini

Selangor sah tarik diri Piala Sumbangsih bertemu JDT

SELANGOR FC (SFC) membuat keputusan untuk menarik diri daripada perlawanan Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’azim di Stadium Sultan...

Lagi Artikel Berkaitan