30.7 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 5, 2024

Kekalkan pemansuhan caj DuitNow QR – MCA

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KERAJAAN diminta untuk mengekalkan pengenepian caj kadar diskaun pedagang (MDR) kepada peniaga yang menerima pembayaran melalui kod QR DuitNow.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, langkah pengenepian caj tersebut penting agar pembayaran tanpa tunai dapat diperluas dan menguntungkan semua pihak iaitu pengguna, peniaga, bank dan kerajaan.

“Justeru, saya mohon Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar terus membawa berita baik ketika mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) pada Selasa ini (esok).

“Harapan rakyat adalah perkara ini dimansuhkan secara berkekalan,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Beliau mengulas keputusan pengendali DuitNow QR, Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) mengenai pengenaan caj transaksi melibatkan peniaga kecil berkuatkuasa 1 November ini.

Keputusan itu mencetuskan kemarahan dalam kalangan rakyat kerana bimbang ia akan membebankan peniaga yang kemudiannya akan ditanggung oleh pengguna.

Kelmarin, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh bagaimanapun berkata, isu tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat NACCOL esok.

Advertisements

Ka Siong berkata, sejak penggunaan pembayaran tanpa tunai melalui DuitNow QR, Bank Negara Malaysia (BNM) tidak perlu mencetak mata wang dan siling baharu yang membawa kepada penjimatan signifikan buat BNM.

Katanya, bank-bank juga menerima manfaat daripada penurunan kos bagi menyediakan mesin deposit tunai, kos ATM untuk pengeluaran wang tunai bagi pengguna, kos keselamatan dan penyelenggaraan wang tunai.

Pada masa yang sama, katanya, keputusan tersebut bakal membebankan peniaga kecil di saat rakyat terkesan dengan kenaikan kos sara hidup masa kini.

“DuitNow QR hanya merupakan satu paparan diletakkan pada dinding atau kaunter dan tidak memerlukan sebarang penyelenggaraan mesin seperti kad kredit selain kos operasi yang ditanggung pihak bank juga berada pada kadar minimum.

“Bank tempatan yang keuntungannya meningkat dengan ketara setiap tahun tidak perlu bergantung kepada caj MDR untuk menambah keuntungan bank masing-masing,” katanya.

Untuk rekod, BNM merupakan pemegang saham terbesar dalam PayNet bersama 11 buah bank tempatan yang lain. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

USANITA pilih Awal Ashaari sebagai wajah untuk 2024

ATAS komitmen terbaik yang diberikan dalam memberikan kerjasama terhadap pelbagai program yang dijayakan oleh Usanita Sdn Bhd (USANITA), pelakon...

Lagi Artikel Berkaitan