23.6 C
Kuala Lumpur
Wednesday, January 15, 2025

Ka Siong ‘lepas geram’ di Dewan Merdeka, mahu BN elak dibuli

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Berkecimpung lebih 30 tahun dalam dunia kewartawanan bersama media arus perdana. Keutamaan dalam penulisan berkaitan politik, sukan dan teknologi maklumat.

PRESIDEN MCA, Datuk Seri Ir Wee Ka Siong seolah-olah menjadikan Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur sebagai medan baginya melepaskan geram terhadap parti kerajaan setelah suaranya disekat di Dewan Rakyat.

Ketika menyampaikan ucapan bagi parti komponen Barisan Nasional (BN) pada sambutan jubli emas parti itu, Ahli Parlimen Air Hitam itu bengang kerana beliau dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan hanya kerana menegur seorang menteri.

“Kita BN jangan dibuli. Pantang dibuli. Kita pernah jadi kerajaan, pembangkang… tidak mengapa. Kita perlu hormat pandangan berlainan.

“Tak mungkin semak dan imbang tidak menjadi sebahagian daripada prinsip demokrasi. Sebab itu MCA berperanan untuk semak dan imbang. Kalau menteri cakap tak betul, saya betulkan.

“Sekarang ini terbukti saya saya tak cakap salah. Paling penting, jangan heret saya… nama saya. Kamu kata saya guna data yang tidak betul. Itu data yang kamu beri pada ahli Parlimen parti lain bukan kepada saya,” katanya.

Hadir sama Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan; Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Arthur Joseph Kurup dan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan.

Bulan lalu, Ahli Parlimen Kampar dari DAP, Chong Zhemin mengemukakan usul supaya Ka Siong dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana membuat sangkaan jahat terhadap Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Advertisements

Ia susulan kenyataan dibuat Ka Siong pada sidang Dewan Rakyat 7 November yang mendakwa Rafizi memberikan dua jawapan berbeza berhubung peruntukan membangunkan Pangkalan Data Utama (PADU) iaitu RM85 juta dan RM31 juta.

Sementara itu, Ka Siong menegaskan, jika ada mana-mana ahli Parlimen gabungan tidak kira UMNO dan MIC menjadi ‘mangsa serangan’ oleh parti daripada kerajaan atau pembangkang, beliau bakal bangkit membantu mereka.

Menurutnya, kesungguhan yang ditonjolkan itu merupakan semangat sejati BN.

“Kita diibaratkan sebagai aur dengan tebing… kita adik beradik. Siapa nak buli Ka Siong, Saravanan (Timbalan Presiden MIC), kalian perlu tengok pasukannya adalah 30 ahli Parlimen daripada BN.

“Kalau kita berupaya tunjuk kekuatan, solidariti… sudah tentu, ia akan dihormati,” ujarnya.

Justeru, kata beliau, parti-parti komponen BN seharusnya mengutamakan adik beradik dalam keluarga sendiri berbanding orang lain. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bantuan SARA disalur kepada 700,000 penerima mulai esok

DALAM usaha berterusan untuk membantu golongan miskin dan miskin tegar, Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri...

Lagi Artikel Berkaitan