23.6 C
Kuala Lumpur
Wednesday, January 15, 2025

MIC tidak setuju formula parti penyandang kekal kerusi

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Berkecimpung lebih 30 tahun dalam dunia kewartawanan bersama media arus perdana. Keutamaan dalam penulisan berkaitan politik, sukan dan teknologi maklumat.

MIC mahukan agar Barisan Nasional (BN) tidak meneruskan formula pembahagian kerusi yang dimenangi untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

Ini kerana, menurut Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan, formula yang diguna pakai itu tidak sesuai bagi partinya dan juga UMNO sendiri.

“Ini formula salah, MIC mati-mati tidak akan setuju,” katanya ketika menyampaikan ucapan daripada parti komponen pada majlis sambutan Jubli Emas BN di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Hadir sama Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan; Presiden MCA, Datuk Seri Ir Wee Ka Siong dan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Arthur Joseph Kurup.

Saravanan mengambil contoh yang mana UMNO tidak akan memiliki kerusi Cameron Highlands sekiranya tradisi tersebut dilaksanakan memandangkan kerusi itu sebelum ini dimenangi oleh MIC.

Bagaimanapun, katanya, bertolak belakang daripada formula tersebut, kerusi berkenaan diserahkan kepada UMNO untuk bertanding dalam pilihan raya kecil sebelum memenanginya.

Saravanan juga mengambil contoh kerusi Tanjung Piai yang sebelum ini milik UMNO, namun menyerahkan kepada MCA untuk ditandingi sebelum menang.

Advertisements

“MIC menang Cameron Highlands, bukan kalah tetapi apabila kita lihat lebih sesuai calon UMNO menang, kita serahkan kerusi kepada UMNO.

“Kalau nak guna formula sekarang… menang simpan kerusi, kita tak beri Cameron Highlands kepada UMNO… sama juga Tanjung Piai.

“Pendirian kita nak letak calon UMNO tetapi Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi buat keputusan serah kepada MCA,” katanya.

Saravanan berkata, sebelum ini, ketua-ketua sayap pemuda BN secara automatik akan diberikan peluang untuk bertanding dalam pilihan raya.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu, BN hanya memenangi 30 kerusi dengan 28 dimenangi oleh UMNO manakala masing-masing satu kerusi milik MCA disumbang oleh Ka Siong di Ayer Hitam dan Saravanan sendiri di Tapah.

Jika formula kerusi penyandang bertanding dalam PRU akan datang, bermakna MCA dan MIC hanya boleh bertanding di satu kerusi sahaja. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bantuan SARA disalur kepada 700,000 penerima mulai esok

DALAM usaha berterusan untuk membantu golongan miskin dan miskin tegar, Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri...

Lagi Artikel Berkaitan