GELOMBANG kedua bencana banjir yang bermula esok sehingga 14 Disember dijangka lebih besar berbanding awal bulan ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, perkara itu berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dengan Pahang dan Johor antara negeri dijangka turut terjejas dengan bencana tersebut kali ini.
Bagaimanapun beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, kesiapsiagaan melalui pengagihan perkhidmatan untuk aset, pegawai dan anggota serta peralatan telah mula diatur gerak.
“Pada kali ini (gelombang kedua) mungkin akan melibatkan negeri Pahang dan Johor dengan lebih berat lagi, namun kesiapsiagaan melalui pengagihan perkhidmatan untuk aset, pegawai dan anggota serta peralatan telah mula diatur gerak.
“Apa yang penting ialah kerjasama daripada NGO kali ini luar biasa untuk menyantuni pembersihan pascabanjir dan diharapkan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) akan melakukan penyelarasan terhadap usaha ini di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demika selepas melakukan Pelepasan Skuad Misi Bantuan Banjir sempena Sambutan Ulang Tahun ke-50 Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.
Hadir sama Ketua Wanita BN, Datuk Dr Noraini Ahmad; Ketua Pemuda BN, Datuk Dr Akmal Saleh dan Ketua Puteri BN, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi.
Zahid yang juga Pengerusi BN sebelum itu menyempurnakan pelepasan misi bantuan melibatkan 1,000 pek bantuan keperluan asas yang dihantar ke lima lokasi terjejas akibat banjir terutama di Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Skuad yang terdiri daripada 400 sukarelawan termasuk 100 pelajar dari UMNO Siswa turut dibantu Pemuda, Wanita dan Puteri BN.
Misi berkenaan melibatkan pelbagai bentuk logistik, termasuk tujuh buah kenderaan pacuan empat roda, dua van, 15 lori dan sebuah treler yang membawa barang-barang keperluan seperti makanan, minuman, pakaian dan peralatan kebersihan.
Mengulas mengenai misi bantuan banjir itu, Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, ia merupakan bukti gabungan parti itu melakukan kerja tidak bermusim menerusi khidmat bantuan kepada masyarakat sepanjang masa tanpa mengira ketika bencana atau pilihan raya.
“Ramai orang tolong sebelum dan ketika banjir, tetapi tidak ramai yang bantu selepas banjir, maka keprihatinan dan pertolongan BN selepas banjir menunjukkan bantuan kita salurkan tidak bermusim.
“Kita mempunyai perangkaan keseluruhan mangsa banjir yang telah disantuni iaitu seramai 222,000 orang. Kita tetap menyantuni rakyat secara keseluruhannya,” katanya.
Mengenai perkembangan banjir gelombang pertama berkata, setakat ini, kurang 10,000 mangsa masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 153,000 pada 1 Disember lepas, yang melibatkan 45,000 keluarga.
Beliau berkata, hingga kini, sejumlah 222,000 mangsa banjir telah disantuni, sambil menzahirkan penghargaan atas kerjasama NGO yang luar biasa dalam membantu mangsa banjir termasuk menerusi kerja-kerja pembersihan pascabanjir. – Edisi 9