UNIVERSITI Malaya (UM) baru-baru ini mengadakan program memperkasa kesejahteraan mental remaja di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Utama Damansara (4), Petaling Jaya.
Program anjuran Fakulti Pendidikan itu diadakan dengan kerjasama Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz, UM itu mensasarkan remaja berusia 13 hingga 15 tahun.
Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan UM merangkap Pengarah Projek, Dr. Norfaezah Md Khalid berkata, penganjuran program tersebut merupakab salah satu khidmat komuniti yang digerakkan oleh fakulti tersebut.
Beliau berkata, selain pensyarah, program tersebut turut disertai oleh kumpulan mahasiswa program Sarjana Kaunseling Profesional.
“Pelajar remaja yang menyertai program ini datang dari pelbagai latarbelakang keluarga, yang mana kesemuanya berasal dari keluarga B40.
“Program ini turut menjemput ibu bapa untuk mendapatkan perkhidmatan perundingan bersama pakar kaunseling dari Universiti Malaya,” katanya baru-baru ini.
Norfaezah berkata, program itu antara lain bertujuan membantu pelajar remaja untuk lebih bijak menguruskan emosi, tingkah laku dan pemikiran mereka.
Katanya, keupayaan seseorang menguruskan dan mengawal emosi, tingkah laku, serta pemikiran mereka dalam pelbagai konteks situasi atau regulasi kendiri adalah satu bentuk kemahiran yang amat penting untuk dibina dalam diri remaja.
“Regulasi kendiri yang baik memberi kesan positif terhadap kesihatan mental remaja kerana ia membantu mereka mengatasi perasaan negatif, seperti stres, kecemasan, dan kemurungan.
“Sebagai contoh, apabila remaja berhadapan dengan masalah sosial atau tekanan akademik, mereka yang memiliki kemahiran regulasi kendiri yang baik lebih cenderung untuk menghadapi situasi tersebut dengan lebih tenang dan rasional.
“Mereka mampu mengelakkan tindak balas impulsif yang boleh memperburuk keadaan, seperti bertindak agresif atau menarik diri secara berlebihan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah program, Qurratu’aini Husna Syed Hussin Jamaluddin berkata, program seperti ini wajar diperluaskan lagi bagi membantu setiap lapisan masyarakat lebih bersemangat dan bermotivasi dalam kehidupan mereka, seterusnya mencapai kesejahteraan mental yang lebih baik.
“Program khidmat komuniti seumpama yang mensasarkan golongan kurang berkemampuan haruslah diteruskan pada masa hadapan.
“Ini bertujuan memberi sokongan berterusan kepada para remaja kurang berkemampuan untuk mendapat peluang dan pendedahan menyertai pelbagai program sesuai dengan peringkat perkembangan mereka,” kata pelajar tahun kedua Sarjana Kaunseling Profesional itu. – Edisi 9